AWANG terkejut juga baca hantaran FB seorang penumpang dalam pesawat MH2664 ke Tawau Ahad lepas.
Dalam kejadian tersebut pesawat itu mengalami masalah teknikal dan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penumpang berkenaan mengatakan bahawa pesawat itu menjunam menyebabkan penumpang panik dan ketakutan. Tapi pesawat itu mendarat di KLIA dengan selamat.
Pada hari Rabu MAS mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat itu ada isu teknikal dan cuaca kurang baik hari itu, walaupun hal cuaca dipertikaikan oleh penumpang yang membuat hantaran di FBnya.
MAS juga mohon maaf pada semua penumpang yang terbabit.
Bagi Awang yang penting semua selamat. Cuma Awang harap pihak MAS tidak menunggu beberapa hari sebelum membuat kenyataan rasmi tentang hal itu. Khabarnya ada penumpang yang buat laporan polis kejadian itu.
Awang sokong sangat pihak MAS memfailkan Laporan Kejadian Mandatori kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM). MAS juga nafikan dakwaan syarikat itu menyembunyikan maklumat kejadian itu daripada orang ramai.
Awang harap siasatan menyeluruh pada pihak CAAM dibuat secara telus dan segera. Menurut beritanya pesawat yang terbabit itu adalah jenis 737-800, pesawat jenis yang sama milik China Eastern yang terhempas pada 21 Mac yang lalu.
Awang harap semua aspek keselamatan pesawat jenis itu diambil perhatian segera.
Klik di sini untuk terus membaca