PADA Isnin lalu, ribuan mahasiswa Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di republik itu bagi menentang cadangan tentang perlanjutan penggal pemerintahan Presiden daripada dua penggal yang selama ni diamalkan di negara itu kepada tiga penggal.
Cadangan itu telah berlegar sejak sekian lama sebelum ini sehinggakan ada beberapa ahli politik kanan dan anggota kabinet menyokong idea untuk melanjutkan lagi tempoh perkhidmatan Presiden Indonesia , Joko Widodo, 60, atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi.
Tempoh perkhidmatan Jokowi sebagai Presiden sepatutnya berakhir pada tahun 2024 selepas memegang jawatan itu buat penggal kedua selepas pertama kali menjadi ketua negara tersebut menerusi pilihan raya pada tahun 2014 bagi menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.
Mengikut perlembagaan Indonesia, seseorang Presiden hanya dibenarkan untuk memegang jawatan itu selama dua penggal yang mana setiap satu penggal melibatkan tempoh pemerintahan selama lima tahun.
Idea bagi melanjutkan pemerintahan Jokowi itu juga dicadangkan dibuat dengan menangguhkan pelaksanaan Pemilihan Umum (PEMILU) yang sepatutnya diadakan pada tahun 2024 atau meminda Perlembagaan bagi membolehkannya memerintah buat penggal ketiga.
Pada Disember tahun lalu, tinjauan pendapat di Indonesia iaitu Indikator Politik Indonesia meninjau tentang pendapat orang ramai mengenai isu penangguhan PEMILU 2024.
58 PERATUS TIDAK SETUJU
Hasil daripada tinjauan pendapat itu menunjukkan sebanyak 58 peratus orang ramai menyatakan tidak bersetuju atau sangat tidak bersetuju dengan pendapat bahawa tempoh Jokowi sebagai Presiden perlu dilanjutkan sehingga tahun 2027 supaya beliau dapat menyelesaikan masalah pengurusan pandemik Covid-19 dan agenda pemulihan ekonomi negara.
Sebanyak 35.5 peratus pula kuat bersetuju atau bersetuju dengan tempoh penggal jawatan Jokowi dilanjutkan.
Bagaimanapun, hasil kajian itu telah digunakan oleh Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia untuk berhujah bahawa terdapat sokongan kuat untuk Jokowi kekal memegang jawatan sehingga tahun 2027.
Bahlil juga secara terbuka mendakwa bahawa dapatan tinjauan pendapat tersebut menunjukkan bahawa sokongan untuk Jokowi kekal memegang jawatan tersebut semakin meningkat serta konsisten dengan sentimen yang diperolehinya semasa perbincangan peribadinya dengan komuniti perniagaan yang menyokong supaya pilihan raya ditangguhkan sehingga 2027 kerana Indonesia baru pulih daripada pandemik Covid-19.
Cadangan untuk melanjutkan penggal pemerintahan Jokowi sebagai Presiden Indonesia kemudian banyak dipaparkan di akhbar-akhbar Indonesia sehingga menyebabkannya terpaksa membuat penafian berulang kali bahawa beliau mahu memegang jawatan tersebut buat kali ketiga.
Pada 15 Mac lalu, beliau telah mengulangi hasratnya tidak mahu menjadi Presiden selama tiga penggal dan penegasan itu dibuat bagi menjawab isu rancangan untuk meminda Undang-Undang Dasar 1945 Republik Indonesia bagi melanjutkan tempoh jawatan berkenaan.
IDEA JOK-PRO2024
Spekulasi tentang Jokowi akan memegang jawatan itu sudah wujud sejak tahun 2019 lagi apabila kumpulan yang paling menyokong idea itu ialah Jok-Pro2024 atau dikenali sebagai Komuniti Sukarelawan Jokowi-Prabowo untuk 2024 yang diketuai oleh M Qadari iaitu Pengarah Eksekutif Indo Barometer dan Setiausaha Agung Jok-Pro 2024, Ivan Timothy.
Mereka berhujah bahawa penggal ketiga untuk Jokowi dengan Prabowo Subianto yang juga bekas pegawai tinggi tentera sebagai Naib Presiden akan diperlukan dari segi politik untuk menyelesaikan polarisasi yang mendalam dalam masyarakat Indonesia.
Bagaimanapun, Jokowi memilih Ma'ruf Amin iaitu seorang ulama, pensyarah dan ahli politik sebagai Naib Presiden Indonesia dan bukan Prabowo.
Pada pilihan raya pada tahun 2019, gadingan Jokowi-Ma'ruf mengalahkan regu Prabowo--Sandiaga Uno namun Jokowi sanggup melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan Indonesia.
Bagaimaanapin pada awal bulan ini, Jokowi sekali lagi menjelaskan bahawa Pemilu tetap dilaksanakan mengikut jadual iaitu pada 14 Februari 2024 dan penegasan tersebut dibuat dalam mesyuarat kabinet di Istana Negaranya.
GAGAL PUJUK MAHASISWA
Namun, kenyataan penafian Jokowi bahawa beliau tidak akan terus memegang jawatan Presiden buat penggal ketiga didapati gagal untuk menghalang ribuan pelajar universiti berkumpul di Indonesia bagi membantah cadangan untuk melanjutkan tempoh pemerintahan Jokowi.
Bantahan pada Isnin lalu itu diadakan selepas hampir dua dekad lalu apabila demonstrasi serupa yang dipimpin oleh para pelajar berjaya menyebabkan Suharto meletakkan jawatan pada tahun 1998 selepas memimpin selama beberapa dekad dengan kuku besi.
Pada Isnin lalu, polis Indonesia terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap pelajar- pelajar di Jakarta yang membantah perlanjutan had penggal Presiden selepas khabar angin bertiup selama berminggu-minggu mengenai potensi Perlembagaan negara itu dipinda.
Seorang pemerhati politik dari Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Wasisto Jati menyatakan kepada CNN Indonesia bahawa
tindakan menolak cadangan untuk melanjutkan penggal Presiden itu wajar dilakukan oleh pelajar kerana perlanjutan tersebut atau menangguhkan Pemilu 2024 berpotensi menimbulkan kekacauan sosial yang membawa kepada ketidakstabilan keselamatan.
Justeru, katanya, potensi kekacauan sosial itu bakal berlaku jika pemerintah merealisasikan cadangan untuk melanjutkan penggal pemerintahan Presiden Indonesia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca