SHAH ALAM - Semua calon pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membayar jumlah ditetapkan untuk bertanding daripada jawatan Presiden sehingga ke Cabang mengikut peraturan pemilihan PKR 2022 yang disediakan oleh Jawatankuasa Pemilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua calon pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membayar jumlah ditetapkan untuk bertanding daripada jawatan Presiden sehingga ke Cabang mengikut peraturan pemilihan PKR 2022 yang disediakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Jumlah tertinggi ialah yuran pencalonan Presiden sebanyak RM20,000 diikuti Timbalan Presiden sebanyak RM15,000, Naib Presiden sebanyak RM10,000 dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebanyak RM7,500.

Bagi yuran pencalonan untuk peringkat Cabang parti, Ketua Cabang perlu membayar RM600, manakala Timbalan Ketua Cabang sebanyak RM200, Naib Ketua Cabang RM150 dan Ahli Jawatankuasa Cabang RM60.

Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, tujuan yuran itu dikenakan adalah untuk membantu proses pencalonan dari pelbagai aspek yang memerlukan bajet untuk beberapa perkara bagi memudahkan kerja-kerja pemilihan calon dilaksanakan.

"Contohnya, kita memerlukan petugas untuk membantu proses pencalonan. Walaupun mereka merupakan sukarelawan tanpa gaji, kita akan memberi sedikit elaun, makan dan minum mereka kerana memudahkan kerja-kerja pencalonan.

"Seterusnya, kita menggunakan teknologi terkini seperti sistem baharu dan tablet yang memerlukan bajet yang tinggi. Calon pula mungkin perlu melawat kawasan untuk melihat penyeliaan pusat pengundi dan menyewa dewan.

"Oleh itu, ada pelbagai perbelanjaan yang kita gunakan dan JPP memperolehi bajet daripada parti dan bukan daripada kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun, bajet itu akan kembali kepada anggota dan parti,” katanya.

Fahmi Fadzil

Tambahnya, yuran itu merupakan sebuah komitmen pemimpin kepada parti dan cabaran serta usaha mereka sekiranya benar-benar ingin menerajui parti.

"Semua pihak sedia maklum dan sudah membuat keputusan bahawa setiap tiga tahun, kita akan ada pertandingan. Untuk menjayakannya, kita perlu melihat kepada jenis-jenis atau kaedah yang hendak digunakan untuk melancarkan pemilihan tersebut.

"PKR mempunyai sehingga 10,000 calon. Oleh itu, wajar untuk kita mempunyai bajet tertentu dan ia merupakan komitmen pemimpin kepada parti,” katanya.

Zaliha berkata, yuran pencalonan ini sudah dilaksanakan sejak tahun 2010 dengan konsep satu anggota satu undi dan ia merupakan perbincangan bersama yang dipersetujui semua pihak.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berpandangan bahawa rasional di sebalik pembayaran yuran itu adalah untuk menyokong dan membantu perjalanan proses pemilihan itu sendiri.

"Selama ini, kami memang menginfakkan fungsi tertentu untuk tujuan pengurusan demi membantu proses pemilihan calon.

"Sebelum ini, yuran itu digunakan bagi tujuan cetakan kertas undi, peralatan dan pengurusan. Yuran itu hanya perlu dibayar semasa bertanding sahaja termasuk yuran keanggotaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca