SHAH ALAM - Pakar perubatan menyifatkan penggunaan ubat antiviral, Paxlovid sebagai ‘game changer’ dalam membantu negara menangani mengharungi fasa peralihan ke endemik. Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Islam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar perubatan menyifatkan penggunaan ubat antiviral, Paxlovid sebagai ‘game changer’ dalam membantu negara menangani mengharungi fasa peralihan ke endemik.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, berbeza dengan vaksin yang hanya diambil untuk mencegah, Paxlovid akan membolehkan rawatan diberi kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, penggunaan ubatan tersebut juga secara langsung dapat mengurangkan jumlah pesakit yang berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

"Ubat ini boleh mengurangkan perebakan virus di dalam tubuh dan risiko kerosakan kepada organ dalaman pesakit.

"Apa yang lebih signifikan ialah ubat ini boleh mengelakkan pesakit daripada masuk ke hospital dan juga mati disebabkan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) menerima 48,000 stok pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat itu disyorkan untuk rawatan pesakit Covid-19 dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala yang teruk.

Dr Noor Hisham sebelum itu pada 3 Mac lalu telah mengumumkan bahawa mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-37 telah meluluskan penggunaan pil tersebut secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Farhan berkata, pil Paxlovid adalah sama seperti ubat antiviral lain yang memiliki kesan sampingan tidak berat dan sangat minimum.

"Antara kesan sampingan adalah perubahan kepada deria rasa, cirit-birit, perubahan tekanan darah selain sakit-sakit sendiri dan lemah tubuh badan,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Mohammad Farhan turut mengingatkan orang ramai bahawa ubatan antiviral itu tidak boleh diambil secara sesuka hati kerana hanya boleh diambil setelah individu tersebut diperiksa dan dikenal pasti oleh pakar perubatan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tetap terus mengambil vaksin Covid-19 dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, pembersihan diri serta penjarakan fizikal kerana ia masih merupakan langkah paling optimum untuk mencegah Covid-19.

"Ubat merupakan rawatan dan harus dikira sebagai langkah terakhir bagi kita. Kita harus pegang pada prinsip, cegah itu lebih baik daripada rawat,” kata beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca