PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini bakal menyaksikan pertembungan sengit dengan 18 calon termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi merebut... Klik di sini untuk terus membaca
PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini bakal menyaksikan pertembungan sengit dengan 18 calon termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi merebut empat jawatan Naib Presiden untuk penggal 2022-2025 dalam pemilihan parti kali ini.

Antara individu berpengaruh atau calon 'heavywieght' lain yang turut mencuba nasib merebut jawatan Naib Presiden ialah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador.

Jawatan berkenaan juga menjadi rebutan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang dan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Individu lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, G Manivannan; ADUN Sentosa G Gunarajah; ADUN Chuah, Yek Diew Ching; bekas ADUN Bandar, Azan Ismail; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran; Naib Pemuda AMK, S Thiban; Mustaffa Kamil Ayub; R Summugam.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh menjadi satu-satunya wanita yang bertanding jawatan Naib Presiden selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi dimenanginya, sebelum ini.

Nurul Izzah menegaskan beliau tidak akan bertanding bagi merebut enam jawatan tertinggi dalam pemilihan PKR kerana mahu memberi fokus kepada usaha menarik pengundi atas pagar untuk menyokong parti berkenaan.

Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir meramalkan meramalkan pemimpin yang mendapat 'restu' daripada pucuk pimpinan parti seperti Shamsul Iskandar dan Nik Nazmi adalah antara individu yang dijangka menang perebutan jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR nanti.

Namun katanya, apa yang penting bagi PKR sekarang ialah untuk menampilkan pemimpin muda berwibawa bukan hanya mereka setia kepada parti dan membantu PKR maju ke hadapan selepas kekalahan teruk dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

AMINUDDIN


"Kalau tidak PKR akan terbelenggu dalam situasi sama dan menyukarkan mereka bergerak ke hadapan dan akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kalau PH dan PKR masih kalah teruk dalam PRU15, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu bersikap realistik dan berundur daripada jawatan sebagai Presiden PKR walaupun ia umpama menelan pil pahit kerana taringnya kini semakin hilang tidak seperti dulu," katanya.

Pemilihan parti kali ini mempertandingkan enam jawatan tertinggi, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden dan kepimpinan tertinggi sayap PKR serta bahagian.

Anwar pula sudah disahkan mempertahankan jawatan itu bagi penggal 2022 hingga 2025 apabila tiada calon lain yang berani menjadi pencabar.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan saingan dua penjuru antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli.

KEM RAFIZI, KEM SAIFUDDIN

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR kali ini dilihat lebih terbuka berikutan tindakan Anwar yang mengambil sikap berkecuali dan tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana calon bertanding.

Azmi berkata, beliau menjangkakan saingan merebut jawatan Naib Presiden memang sengit kerana ramai calon 'heavyweight' yang bertanding dan mereka juga tahu bahawa calon Timbalan Presiden bakal menggantikan Anwar selaku Presiden tidak lama lagi.

"Lazimnya dalam PKR kalau kita lihat mereka bertanding jawatan Timbalan Presiden akan mewarnai dan membentuk kumpulan penyokong untuk bertanding jawatan Naib Presiden dan jawatan lain. Jadi dalam kes ini kita boleh lihat siapa kem Rafizi dan siapa kem Saifuddin, sebagai contoh Nik Nazmi misalnya adalah calon Naib Presiden dari kem Rafizi.

"Jadi pertandingan Timbalan dan Naib Presiden memang berkait rapat dengan kem mereka bertanding jawatan Timbalan Presiden.

"Pertandingan Timbalan Presiden bakal menentukan hala tuju PKR. Jadi bagi saya adalah amat baik jika Presiden PKR tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana calon Timbalan dan Naib Presiden.

"Justeru, senario berlaku semasa pertandingan antara bekas Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi dulu tidak akan berulang dalam pemilihan PKR nanti kerana Presiden tidak campur tangan dalam pemilihan timbalannya. Bagaimanapun, impak negatif dan perpecahan tetap berlaku walaupun tidak seteruk dulu," katanya. Klik di sini untuk terus membaca