SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyediakan peruntukan sebanyak 10 kali ganda kepada sektor seni dan kebudayaan berikutan peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk mempergiatkan lagi aktiviti tersebut di negara.
Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Datuk Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali dengan nama Dinsman berkata, jika bajet tidak mencukupi, segala aktiviti seni dan budaya tidak dapat direalisasikan dengan baik.
"Jadi, kalau saya ada kuasa (menjadi Menteri Kebudayaan), saya akan minta Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tambah bajet untuk aktiviti seni dan budaya.
"Sekurang-kurangnya untuk permulaan, 10 kali ganda. Kalau sekarang ini RM10 juta, jadi RM100 juta. Sebab tak banyak benda kita boleh buat dengan bajet yang ada sekarang.
"Selagi bajet tidak cukup banyak, memang aktiviti tak boleh buat. Bila dah ada peruntukan, barulah boleh atur apa yang hendak dibuat,” katanya ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Ditanya mengenai peranan yang diambil dalam memastikan suara seniman, penyair dan sasterawan menjadi lebih relevan pada hari ini, Dinsman berkata, pendekatan sebelum ini menerusi aktiviti seni yang dianggap 'tidak logik' seperti membuat teater di atas pokok dan sawah padi.
Menurutnya, pendekatan itu diambil bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap aktiviti-aktiviti seni supaya masing-masing boleh berfikir tentang kesenian.
"Kalau ramai seniman dan sasterawan faham perkara ini, mungkin sama-sama boleh buat supaya lebih mudah untuk mendapatkan perhatian, terutama kepada orang politik kerana orang politik memegang kuasa.
"Jadi sistem kita ditadbir oleh orang politik. Kalau mengikut cara Tekad Budaya Paksi kita nak ubah perkara ini. Kenapa kita beri kuasa terlalu besar kepada orang politik? Apa sangat sumbangan dia kepada masyarakat?
"Kalau kita lihat sekarang ini, orang politik lebih sibuk memikirkan hal mereka. Untuk kepentingan diri saja, bukan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca