SHAH ALAM - Usaha memartabatkan seni dan budaya negara tidak hanya bergantung kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan berterusan daripada setiap kementerian agar ia terus... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Usaha memartabatkan seni dan budaya negara tidak hanya bergantung kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan berterusan daripada setiap kementerian agar ia terus terpelihara.

Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Datuk Che Shamsuddin Othman berkata, inisiatif itu juga harus dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kemudian turun kepada Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya kepada menteri-menteri.

"Sebab itu, saya cuba praktis cara ini sewaktu Pakatan Harapan (PH) yang sempat (memerintah kerajaan) sebelum ini.

"Misalnya, ketika saya buat teater Uda dan Dara di Padang Merbok, saya tidak mohon peruntukan daripada MOTAC tetapi saya mohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kerana teater tersebut berkisarkan masyarakat petani.

"Selain itu, saya juga mohon (peruntukan) daripada Kementerian Wilayah Persekutuan sebab ia diadakan di situ.

"Saya menerima respon yang baik dan mendapat bajet yang diperlukan daripada dua kementerian ini,” katanya ketika menjadi tetamu khas Program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Mengulas lanjut, Che Shamsuddin yang lebih dikenali sebagai Dinsman berkata, Paksi telah melahirkan satu konsep atau fahaman yang dinamakan Tekad Budaya sebagai usaha mengimbangkan antara pemikiran dan aktiviti politik dengan seni budaya.

Menurutnya, pada awal tahun 2000, ramai sasterawan merintih nasib kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya disebabkan pemimpin politik tidak ada kemahuan politik untuk mengubah nasib mereka.

"Jadi saya berfikir, mengapa sasterawan mesti mengharapkan orang politik (supaya) ada kemahuan politik untuk mengubah nasib mereka?

"Mengapa seniman atau budayawan tidak boleh ada kemahuan budaya sendiri?” ujarnya.

Sedangkan katanya, sejarah kebangkitan pemikiran moden pada waktu dahulu diterajui oleh Syed Sheikh al-Hadi yang bukan berlatarbelakangkan politik.

"Mula-mula sejarah di Tanah Melayu, kita nak mulakan pemikiran moden oleh Syed Sheikh al-Hadi yang membuat sekolah dan surat khabar untuk mendidik pemikiran moden.

"Beliau bukan orang politik, gerakan pemodenan pemikiran di Tanah Melayu bukan dimulakan oleh ahli politik tetapi orang seni dan budaya.

"Kenapa sekarang tiba-tiba kita kehilangan semangat ini? Jadi, itu yang timbulnya konsep Tekad Budaya,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca