KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meramalkan Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurang lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) lagi untuk kembali menguasai Putrajaya. Nurul Izzah yang... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meramalkan Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurang lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) lagi untuk kembali menguasai Putrajaya.

Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR berkata, PH juga diramal bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.

Justeru, Nurul Izzah berkata, PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang berbeza dan lebih realistik berbanding dalam PRU14 lalu.

"Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.

"Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya dalam temu bual Eksklusif bersama Sinar Premium di pejabatnya di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, kenyataannya itu berasas kerana tiada jalan pintas bagi sesebuah parti politik atau manusia untuk berjaya dalam hidup dan rakyat perlu diyakini semula bahawa PH mampu melakukan lebih baik jika diberi peluang menguasai Putrajaya sekali lagi.

Ditanya mengenai sebab beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15, Nurul Izzah berkata, antara puncanya adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU14 selepas 22 bulan menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah berkata tempoh 22 bulan pakatan pembangkang menjadi kerajaan adalah terlalu singkat jika dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) berkuasa selama lebih enam dekad.

Nurul Izzah Anwar

"PH banyak belajar dan maklum balas rakyat daripada pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh. Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal).

"Sebagai contoh jumlah rumah mampu milik kepada golongan B40 sukar ditunaikan dan sekarang saya tunggu macam mana mereka mahu melaksanakan gaji minimum RM1,500 kerana sehingga kini mereka belum memuktamadkan pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) tertentu biarpun ia akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata semua pemimpin PH perlu menyatakan kepada rakyat bahawa mereka adalah pembangkang yang jujur dan akan terus setia dengan rakyat dan pengundi di saat senang dan susah.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana wujud kebimbangan bahawa bukan hanya PKR atau PH, malah parti politik lain akan kehilangan banyak kerusi pada PRU15 nanti.

"Mungkin UMNO dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi mengaum sekuat mungkin. Ini kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung kita belum memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang.

"Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua ahli Parlimen patut berasa takut,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata beliau berharap dirinya akan diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan PKR untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.

"Bagaimanapun, saya menghormati apa jua keputusan akhir dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR. Insya-ALLAH saya akan usahakan sedaya mungkin untuk memastikan program Ayuh Malaysia dapat menyentuh hati pengundi bukan hanya semasa PRU, malah berterusan sampai bila-bila.

"Saya perlukan yang terbaik bagi menjayakan program Ayuh Malaysia supaya apabila anak saya besar, mereka mempunyai ekosistem dan suasana politik dan ekonomi lebih baik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca