MALAYSIA ialah sebuah negara demokrasi yang membolehkan rakyat menyatakan pandangan mereka termasuk mengkritik kerajaan agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pandangan tersebut. Pada masa sama, terdapat kerumitan dalam hak kebebasan... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA ialah sebuah negara demokrasi yang membolehkan rakyat menyatakan pandangan mereka termasuk mengkritik kerajaan agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pandangan tersebut.

Pada masa sama, terdapat kerumitan dalam hak kebebasan bersuara terutama menggunakan media sosial yang agak bebas dan ia boleh mengelirukan rakyat.

Zaman sekarang dilihat sebagai satu tempoh yang tidak lagi membolehkan pentadbir negara memonopoli ilmu dan kebijaksanaan internet, yang awalnya dicipta untuk berfungsi sebagai sumber maklumat.

Kini ia boleh bertukar menjadi senjata yang berkuasa mengubah landskap politik dan sosial sesebuah negara.

Internet bertindak sebagai wadah menggerakkan ketelusan dan keterbukaan serta menjana pelbagai pandangan yang meluaskan spektrum demokrasi. Dalam perspektif demokrasi, internet mungkin dilihat mendemokrasikan maklumat, dengan kerajaan bukan sumber maklumat tunggal lagi.

Namun, demokrasi juga bukan untuk semua sehingga berlaku transformasi media apabila tiba media sosial popular seperti TikTok, Twitter, Instagram, Facebook mahupun WhatsApp.

Jika internet mendemokrasikan maklumat, media sosial pula dilihat sebagai medium merakyatkan maklumat. Demokrasi media sosial bersama rakyat tidak boleh dipisahkan. Ia saling berhubung rapat. Segala isi dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat menjadi sumber maklumat bagi media tersebut.

Justeru, media sosial mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam membangun serta membina masyarakat.

Melihat kepada peranannya yang cukup besar, maka boleh disimpulkan media sosial adalah produk budaya yang mempunyai kepentingan beragam seperti politik, budaya, ekonomi, agama, hiburan dan sebagainya.

REALITI DUNIA MEDIA SOSIAL

Setiap bentuk media sosial sama ada TikTok, Twitter, Facebook, Instagram mahupun WhatsApp mempunyai ciri khas masing-masing, sama ada dalam konteks pemberitahuan, isi kandungan, penampilan serta tujuan dan kepentingan yang berbeza.

Dalam konteks inilah kita lihat media sosial adalah organisasi yang ada kepentingan beragam, malah saling bertentangan. Kebanyakan media yang pelbagai itu ada yang dibiayai badan atau individu tertentu.

Realiti dunia media sosial memperlihatkan ada saluran yang memiliki kepentingan politik dan ia biasanya dibiayai kekuatan politik tertentu.

Demikian juga, saluran bermotifkan ekonomi yang dibiayai badan perniagaan tertentu. Tujuannya adalah keuntungan semata-mata.

Ada juga saluran bermotifkan agama, pendidikan, kepenggunaan dan alam sekitar yang dikendalikan serta dibiayai badan tertentu.

Masyarakat sebagai sasaran media sosial seharusnya memiliki daya dan kemampuan menganalisis supaya dapat menilai sejauh mana benarnya sesuatu berita atau sejauh mana sahih atau batilnya apa yang disogokkan kepada mereka.

Isu inilah yang paling ketara dalam pelbagai maklumat disalurkan melalui internet atau media sosial yang menjadi trend masyarakat hari ini.

Sebaliknya, kebanyakan maklumat yang disalurkan melalui media konvensional lebih sahih dalam membentuk pandangan dan pendapat umum walaupun elemen propaganda masih ada menerusi penyampaian berkenaan.

Isu penggunaan internet khususnya media sosial perlu lebih teliti, telus dan sahih dengan menekankan komponen penting berkaitan kesalinghubungan serta demokrasi maklumat.

Demokrasi seperti ini menepati pandangan aliran positivisme yang melihat media sosial sebagai medium menyalurkan maklumat berasaskan fakta yang benar dan diatur oleh kaedah tertentu secara universal.

Memang secara idealnya, media sosial seharusnya bebas dan berkecuali serta menjadi wadah bagi semua kelompok masyarakat menyatakan pandangan dan pendapat mereka. Anggapan itu mungkin benar dalam keadaan tertentu.

Namun, dalam konteks negara kita, kebanyakan media sosial berusaha menyalurkan maklumat mengikut pendekatan demokrasi seperti dinyatakan.

Ia bermaksud, media sosial di negara ini adalah ejen demokrasi atau pengukuhan sosial yang mentafsir dan mendefinisikan realiti.

*Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka.

Klik di sini untuk terus membaca