SHAH ALAM - Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan mestilah diselaraskan dengan kawalan undang-undang dan implementasi yang betul serta ketat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pakar Perubatan, Dr Abu Hasan Samad berkata, pihak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan mestilah diselaraskan dengan kawalan undang-undang dan implementasi yang betul serta ketat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pakar Perubatan, Dr Abu Hasan Samad berkata, pihak berkuasa perlu menjustifikasikan dengan jelas tentang tujuan ganja dalam perubatan, jenis penyakit, deskripsi rawatan dan siapa yang layak memberi dan menerima rawatan tersebut.

"Tujuannya baik kalau kita boleh kawal penggunaannya. Tetapi masalahnya macam mana kita nak kawal? "Ramai orang sering menyalahgunakannya kerana ganja boleh ditanam dan mudah hidup. Kalau tanam belakang rumah atau dalam pasu pun boleh hidup.

"Kalau boleh laksanakan kawalan yang ketat, kita boleh lakukannya di Malaysia. Cuma selagi kita belum bersedia, saya khuatir penyalahgunaannya akan menjadi lebih teruk.

"Bagi saya, pihak kementerian atau komuniti berkenaan perlu selidik sebaik mungkin. Memang betul ada kebaikan, tetapi fikirkan juga keburukannya dan seimbangkan adakah kebaikan itu melebihi keburukan atau sebaliknya?” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan respons positif terhadap industri ganja untuk tujuan perubatan dan akan dibincang serta diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat kabinet.

Ia berikutan pertemuan Kaukus Medical Cannabis dengan Ismail Sabri bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri ganja dan ketum untuk tujuan perubatan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Abu Hasan yang juga Presiden Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Sekitar Malaysia (AOEMM) berkata, ganja banyak digunakan untuk rawatan pesakit saraf, mental, masalah otot atau kesukaran untuk fokus terhadap sesuatu perkara.

"Ganja boleh tingkatkan kesejahteraan umum. Kalau kita rasa badan letih atau lemah, tidak ada selera makan, pengambilan ganja akan memberikan rasa lega.

"Dalam masa sama, ia juga digunakan dalam rawatan penyakit yang kronik seperti kanser atau AIDS, namun ia bukan untuk menyembuhkan penyakit, sebaliknya penggunaan ganja boleh meningkatkan selera makan, membantu mengurangkan rasa sakit badan dan berikan keselesaan kepada pesakit,” jelas beliau.

HANYA BOLEH DIPROSES DI MAKMAL DIIKTIRAF

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tanaman ganja dan ketum untuk tujuan perubatan perlu dikawal dengan ketat dan hanya boleh digunakan setelah diproses oleh makmal yang diiktiraf oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, kaedah itu merupakan langkah mengawal sebarang penyalahgunaan tanaman tersebut."Jika hendak diluluskan untuk perubatan perlulah dikawal dengan ketat agar bahan-bahan ini iaitu ganja dan ketum tidak disalahgunakan.

"Seandainya ada pihak lain yang mengusahakan tanaman tanpa kelulusan termasuk makmal yang memproses tanpa mendapat pengiktirafan pihak berkuasa, pihak terlibat boleh dikenakan tindakan.

"Ini bermaksud siapa-siapa yang mahu tanam perlu mohon kebenaran daripada kementerian terlibat atau kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Dalam pada itu, Musa menjelaskan, ganja telah ditakrifkan sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala ketum ditakrif sebagai racun di bawah Akta Racun 1952.

"Kedua-dua bahan ini dianggap terlarang kerana ganja mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) yang boleh membuatkan penggunanya khayal.

"Ketum pula mengandungi mitragynine yang ditakrif sebagai racun yang boleh membuat penggunanya mabuk dan kesan sampingan lain,” katanya.

Namun, beliau tidak menolak manfaat kedua-dua bahan itu setelah diproses dengan cara yang betul.

"Jika diproses boleh dijadikan bahan perubatan di mana ganja boleh menghasilkan minyak CBD untuk penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi).

"Ketum pula setelah diproses dan dikeluarkan kandungan racunnya boleh dijadikan bahan suplemen kesihatan,” kata Musa.

Klik di sini untuk terus membaca