PADA Isnin lalu, golongan mahasiswa membantah secara besar-besaran di Jakarta, Indonesia. Mereka menolak ura-ura untuk melanjutkan penggal Presiden Jokowi yang menerajui Indonesia sejak 2014 menjangkau sehingga 2024. Mengikut Perlembagaan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Isnin lalu, golongan mahasiswa membantah secara besar-besaran di Jakarta, Indonesia. Mereka menolak ura-ura untuk melanjutkan penggal Presiden Jokowi yang menerajui Indonesia sejak 2014 menjangkau sehingga 2024.

Mengikut Perlembagaan Indonesia, Presiden cuma boleh berkhidmat paling lama dua penggal, 10 tahun.

Pada Isnin yang sama, Perlembagaan Persekutuan Malaysia seharusnya dipinda untuk mengehadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Dijanjikan pelaksanaannya ketika sidang Parlimen bulan Mac dalam Memorandum Persefahaman (MoU)antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pindaan itu ditarik semula oleh kabinet tanpa sebarang penjelasan dan terlepas pandang oleh ahli-ahli Parlimen yang sibuk dengan undang-undang lompat parti.

Mengapa pemimpin kerajaan perlu ada had penggal? Amalan tersebut telah wujud di Republik Rom lebih 2,000 tahun dahulu. Amalan model diperkenalkan oleh George Washington, Presiden pertama Amerika Syarikat (AS) yang tekad bersara selepas dua penggal.

Pengamatan had penggal adalah amalan sukarela sebelum Perlembagaan Amerika Syarikat dipinda pada 1947 untuk mengelak pengulangan kes Presiden Franklin D Roosevelt. Beliau yang memimpin AS memenangi Perang Dunia Kedua, telah memenangi empat penggal Presiden.

TAMAT TEMPOH

Mengapa pemimpin berkaliber tidak boleh dibenarkan untuk berkuasa selagi disokong rakyat? Mengapa perlu ada ‘tamat laku’nya? Kenapa pemimpin tidak boleh ‘laku’ selama-lamanya? Hujah pertama ialah untuk mengelak penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana penumpuan kuasa. Di Indonesia, kerana kerajaan Jokowi merangkumi kebanyakan parti utama, maka penerusan pemerintahan Jokowi berpotensi mewujudkan rangkaian oligark dan dinasti yang memonopoli kuasa serta melindungi salah laku antara mereka daripada pengadilan.

Hujah itu seiras dengan ingatan tajam Lord Acton: "Kuasa merosakkan. Kuasa yang mutlak merosakkan secara mutlaknya.” Dalam ungkapan popular yang lebih nakal: "Seperti lampin, pimpinan politik perlu ditukar secara kerap. Kalau tidak, mereka menjadi kotor.” Hujah kedua ialah mengelak kebergantungan kepada seseorang tokoh, tak kira dia menjadi rosak atau tidak.

Jika tokoh itu boleh ditukar ganti, maka tak perlulah orang yang sama terus berkuasa berdekad-dekad.

Sebaliknya, kalau tokoh itu tidak dapat ditukar ganti, maka bahayalah negara kerana tokoh yang sehebat atau semulia mana pun mungkin meninggal dunia bila-bila masa.

Maka, had penggal memaksa masyarakat untuk sentiasa bersiap sedia dengan pemimpin alternatif bagi mengisi kekosongan apabila sampai hujung penggal, malah sebelumnya.

Hujah ketiga, paling penting pada perhitungan saya adalah mengurangkan perebutan kuasa. Jika takhta kuasa itu ada had guna masanya, maka barisan pengganti yang menunggu tidaklah terlalu panjang dan persaingan kuasa boleh berlaku lebih teratur tanpa apinya melimpah sampai membakar rumah.

Kemudaratan yang sebaliknya boleh difahami dalam kehidupan harian. Misalnya, jika bilik tandas terhad bilangannya dan ada pihak yang duduk lama di dalamnya, sudah pasti senang berlaku pergaduhan.

Dalam kes Malaysia, perlu ditegaskan bahawa had penggal Perdana Menteri tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 40(2)(a) dan 43(2) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan Parlimen sebagai Perdana Menteri tetap kekal, cuma mereka yang telah terlalu lama jadi Perdana Menteri tidak layak lagi.

Ia juga bukan perkara baharu di tanah air. Pulau Pinang telah mengehadkan tempoh Ketua Menteri kepada dua penggal pada 2018. Demi kestabilan politik dan kredibiliti kerajaan, segerakanlah had penggal Perdana Menteri sebelum Julai. Rakyat tidak lupa janji MoU.

Jangan dirosakkan bangku Jangan dikotorkan baju Pemimpin perlu tempoh laku Baru watan stabil maju.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca