Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa menegaskan sehingga kini Anwar tidak mengeluarkan sebarang arahan bertulis, pesanan Whatsapp atau lisan kepadanya atau ahli JPP lain supaya memberikan kemenangan percuma kepada mana-mana calon bertanding dalam pemilihan kali ini.
Malah, Zaliha berkata, sebelum ini Anwar pernah menegaskan bahawa beliau mengambil sikap berkecuali dan menyerahkan kepada ahli PKR di peringkat akar umbi untuk memilih mereka yang layak untuk memimpin parti berkenaan.
"Justeru itu, bagi saya isu dakwaan mana-mana calon Naib Presiden itu adalah 'wahyu' daripada Presiden PKR adalah tidak timbul sama sekali kerana semua individu bertanding wajib melalui proses sama dari pencalonan hinggalah mereka diumumkan pemenang jawatan berkenaan berdasarkan undian ahli PKR.
"Tiada siapapun boleh menang pemilihan jawatan tertinggi PKR melalui 'jalan pintas' atau menerusi pintu belakang, kerana semua kena melalui proses tapisan yang ketat termasuk bantahan dan perlu berkempen sama seperti orang lain," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal tuduhan yang mendakwa calon tertentu bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei depan, mendapat 'wahyu Presiden'.
Amiruddin dipetik sebagai berkata, perkara yang tidak seharusnya timbul dalam pemilihan parti pada kali ini perlu dibuktikan dengan jelas.
"Saya sendiri mendapat pandangan daripada semua pihak termasuk Presiden PKR. Tidak semestinya pandangan itu kita ikut bulat-bulat atau pun kita terima, kalau kita terima pun tidak salah.
"Tetapi yang salahnya mengatakan saya calon presiden. Saya bukan calon presiden kerana ini bukan masanya, sebaliknya apa yang ingin kita bawa untuk parti," katanya, kepada pemberita pada Rabu.
WAHYU UNTUK PANCING UNDI
Sementara itu, Zaliha berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ada pihak tertentu sengaja menyebarkan khabar angin seumpama itu dengan harapan ia akan memberikan kelebihan untuk menang jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR kali ini.
"Saya tidak menolak kemungkinan ada individu atau calon berkenaan sendiri sengaja mencetuskan dakwaan kononnya beliau adalah calon 'wahyu' Presiden kerana mahu menarik perhatian dan berharap akan menarik sokongan dan undi penyokong PKR dalam pemilihan kali ini," katanya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, sehingga kini hanya seorang sahaja calon menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan PKR kali ini.
Tanpa mendedahkan nama individu berkenaan, Zaliha berkata, calon berkenaan berbuat demikian kerana mahu mengurangkan persaingan dan mewujudkan suasana lebih harmoni dalam pemilihan PKR, pada bulan depan.
Bagaimanapun, semakan wartawan Sinar Premium di portal https://pemilihan2022.keadilanrakyat.org/ mendapati nama Datuk Michael Yek Diew Ching, sudah dikeluarkan daripada senarai individu bertanding jawatan calon Naib Presiden PKR dan berkemungkinan besar beliau adalah individu yang menarik diri berkenaan. Klik di sini untuk terus membaca