SHAH ALAM - "Setakat ini tiada apa-apa wahyu daripada presiden, malah beliau bersikap berkecuali dari awal lagi dengan tidak memihak kepada sesiapa”. Itu adalah respons bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Setakat ini tiada apa-apa wahyu daripada presiden, malah beliau bersikap berkecuali dari awal lagi dengan tidak memihak kepada sesiapa”.

Itu adalah respons bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika ditanya sama ada beliau tahu atau tidak mengenai kewujudan calon ‘wahyu’ atau pilihan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung, Mei ini.

Farhash yang juga salah seorang calon Naib Presiden PKR meminta pihak media dan ahli parti itu supaya berhati-hati dengan strategi atau propaganda sedemikian.

"Mungkin ada pihak ‘mencipta hantu’ untuk dijadikan isu. Sememangnya dengan tuduhan-tuduhan sebegini, sukar untuk pihak media atau kita sendiri menyiasat untuk membuat pengesahan tentang siapa yang terlibat.

"Maka ia menjadi satu topik retorikal yang mudah untuk dimainkan berterusan bagi sesetengah pihak untuk menjatuhkan pihak lawan.

"Jika ini yang berlaku, maka ia satu lagi contoh strategi politik murahan yang sepatutnya tidak diamalkan lagi.

"Namun, jika benar ada berlaku perkara-perkara seperti calon mendakwa mereka ialah calon wahyu daripada presiden atau sebagainya, pihak yang menuduh itu sepatutnya mengemukakan bukti dan saya pasti parti ada proses serta tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Farhash mengulas mengenai dakwaan wujud senarai atau ‘chai’ nama calon ‘wahyu’ atau pilihan Anwar bagi merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR kali ini.

Untuk rekod, sehingga kini seramai 18 individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan kali ini, namun seorang daripadanya iaitu Datuk Michael Yek Diew Ching menarik diri atas sebab tertentu.

Antara calon heavyweight lain yang menawarkan diri untuk merebut jawatan Naib Presiden PKR ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Wanita, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Farhash berkata, biarpun beliau berhadapan dengan cabaran sengit untuk merebut jawatan Naib Presiden PKR namun ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan persaingan sihat.

"Apapun, kita perlu meraikan demokrasi dengan pertandingan yang sihat.

"Tidak perlu ada usaha untuk mendapatkan kemenangan tanpa bertanding bagi mana-mana calon.

"Ahli-ahli berhak untuk menilai dan membuat pilihan mereka pada hari pemilihan nanti,” katanya.

ANWAR BERKECUALI

Sementara itu, Fahmi ketika dihubungi menegaskan beliau tidak tahu mengenai kewujudan senarai calon pilihan Anwar dalam pemilihan parti itu.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, dakwaan itu tidak sepatutnya timbul kerana semua individu yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi sama ada timbalan presiden mahu pun naib presiden kerana merasakan mereka layak berbuat demikian.

Fahmi berkata, dari awal lagi, Anwar sudah menyatakan pendirian untuk bersikap terbuka dan berkecuali serta tidak akan berpihak kepada mana-mana calon bertanding sama ada untuk merebut jawatan naib presiden mahu pun Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Fahmi dan Farhash

"Apa yang lebih penting semua calon bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden perlu kembali bersatu dan bekerjasama selepas pemilihan bagi memastikan jentera PKR dan Pakatan Harapan (PH) benar-benar bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

"Kita juga perlu mendampingi, mendengar dan menyelesaikan segala masalah dihadapi oleh rakyat supaya PKR dan PH kembali menjadi pilihan pengundi pada PRU15 nanti,” katanya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa pula, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tidak benar dan hanya sekadar khabar angin serta rekaan semata-mata.

Tegas Zaliha, sehingga kini Anwar tidak mengeluarkan sebarang arahan bertulis, pesan WhatsApp atau lisan kepadanya atau ahli JPP lain supaya memberikan kemenangan percuma kepada mana-mana calon bertanding dalam pemilihan kali ini.

"Bagi saya, isu dakwaan mana-mana calon jawatan Naib Presiden itu ialah ‘wahyu’ daripada Anwar itu tidak timbul sama sekali kerana semua individu bertanding wajib melalui proses sama dari pencalonan hinggalah mereka diumumkan pemenang jawatan berkenaan berdasarkan undian ahli PKR.

"Tiada sesiapapun boleh menang pemilihan jawatan tertinggi PKR melalui ‘jalan pintas’ atau menerusi pintu belakang, kerana semua kena melalui proses tapisan yang ketat termasuk bantahan dan perlu berkempen sama seperti orang lain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca