SHAH ALAM - Dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng telah disabitkan bersalah dalam jenayah rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu lepas, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak dikekalkan bersalah dalam kes SRC... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng telah disabitkan bersalah dalam jenayah rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu lepas, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak dikekalkan bersalah dalam kes SRC International Disember tahun lalu, persoalannya kini di manakah ‘kepala skandal’, Low Taek Jho atau Jho Low.

Selepas empat tahun pihak berkuasa Malaysia dan luar negara memulakan pembongkaran serta perbicaraan skandal kewangan terbesar dunia itu, bilionair Jho Low masih gagal ditangkap dan hidup bebas.

Kali terakhir pihak berkuasa Malaysia memperkatakan mengenai usaha menangkapnya ialah pada November tahun lalu apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, pihak berkuasa tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Mac 2021 pernah memberitahu ada ‘kuasa luar’ yang menghalang PDRM daripada memberkas Jho Low.

Abdul Hamid yang ketika itu masih mengetuai pasukan Sang Saka Biru memaklumkan yang beliau pernah terbang ke Macau untuk berbincang dengan kedutaan dan pihak berkuasa negara itu tetapi usaha tersebut gagal.

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, usaha memburu Jho Low perlu terus dipergiatkan kerana dia merupakan ‘watak utama’ dalam kes berprofil tinggi tersebut.

Beliau berkata, skandal 1MDB bukan sahaja melibatkan kes di dalam negara sebaliknya melibatkan banyak pihak di peringkat antarabangsa.

Untuk itu tegasnya, PDRM perlu mempergiatkan dan melipat ganda lagi usaha menjejaki Jho Low termasuk mendapatkan perkembangan terkini menerusi kerjasama baik dengan Polis Antarabangsa (Interpol).

Gambar dari kiri: Mohd Hisham, Musa

"Sekiranya Malaysia mengetahui di mana Jho Low berada, maka pihak PDRM perlu memohon bantuan Interpol menerusi Red Notice.

"Proses seterusnya adalah melakukan ekstradisi ke atas Jho Low melalui Pejabat Peguam Negara (AG) dengan menghantar fakta-fakta atau kesalahan kepada negara terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu Musa berkata, setiap ahli Interpol yang mengetahui atau menerima Red Notice yang telah disampaikan oleh PDRM, sewajarnya mereka memaklumkan keberadaan Jho Low sekiranya berada di wilayah penguatkuasaan mereka.

Jelas beliau, perkara itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dipersetujui oleh setiap ahli Interpol.

"Sekiranya Red Notice melibatkan suspek dikehendaki berada di wilayah mereka, pihak Interpol perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak PDRM.

"Cuma ia akan menjadi sukar atau bermasalah sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang maklumat melibatkan suspek,” ujarnya.

KEDAULATAN NEGARA

Dalam pada itu, menurut pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, kuasa menangkap Jho Low bukan dalam bidang undang-undang antarabangsa semata-mata kerana turut terikat dengan kedaulatan setiap negara.

"Maksud negara berdaulat bukan sahaja bererti tidak boleh diceroboh, malah ia melibatkan perjanjian dua hala.

"Sekiranya tiada perjanjian antara dua negara, sesebuah negara itu hanya boleh meminta kerjasama dan bantuan daripada negara yang mahu diminta pertolongan.

"Begitu juga melibatkan kes jenayah atau individu dikehendaki oleh sesebuah negara, maka negara yang mahu diminta bantuan itu mempunyai haknya sendiri,” jelasnya.

Penyelewengan kewangan 1MDB dianggap skandal terbesar dunia.

Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, jika tertuduh seperti Jho Low berada di dalam wilayah sesebuah negara luar, keputusan masih di tangan kerajaan negara tersebut.

Tambahnya, walaupun negara tersebut mengetahui keberadaan individu yang diburu dan dikehendaki, negara itu masih boleh memutuskan untuk tidak memberi bantuan atau kerjasama."Pemahaman ini juga termasuk di dalam maksud negara berdaulat.

"Sesebuah negara bebas dan berhak untuk membuat keputusan mengenai tanah air mereka,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca