SHAH ALAM - Meskipun kit ujian kendiri Covid-19 mudah diperoleh di pasaran dengan harga yang lebih rendah berbanding ujian kit saringan pantas (RTK) antigen yang dilakukan di klinik-klinik swasta, masih terdapat keperluan untuk orang ramai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Meskipun kit ujian kendiri Covid-19 mudah diperoleh di pasaran dengan harga yang lebih rendah berbanding ujian kit saringan pantas (RTK) antigen yang dilakukan di klinik-klinik swasta, masih terdapat keperluan untuk orang ramai khususnya dalam golongan pekerja yang perlu mendapatkan keputusan Covid-19 yang telah disahkan oleh klinik dan doktor.

Namun, terdapat harga ujian RTK antigen di klinik-klinik swasta yang boleh dianggap tinggi dan membebankan pengguna yang tergolong dalam kumpulan tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di 10 klinik swasta sekitar Lembah Klang yang menawarkan ujian RTK antigen (hidung sahaja) mendapati adanya klinik yang menawarkan harga ujian serendah RM39 sehingga RM180.

Harga purata yang dikenakan adalah antara RM60 dan RM70 bagi setiap ujian yang dibuat. Namun, terdapat klinik yang menawarkan potongan harga antara RM5 hingga RM10 bagi mana-mana individu yang datang melakukan ujian serentak sekurang-kurang bersama lima orang.

Terdapat juga klinik yang menetapkan harga kekal tanpa sebarang potongan harga.

Seorang pekerja di sebuah klinik di Klang mendakwa harga yang agak tinggi dikenakan sehingga RM180 kerana kos yang ditanggung klinik adalah tinggi namun enggan memperjelaskan dengan lebih lanjut.

Bagaimanapun harga boleh dikurangkan sekiranya ujian dibuat dalam jumlah yang besar membabitkan kumpulan-kumpulan tertentu khususnya majikan yang menghantar pekerja mereka.

Tinjauan harga di dua klinik di Putrajaya juga menetapkan harga RM70 bagi ujian RTK antigen dengan tempoh keputusan yang dikeluarkan dianggarkan dalam masa setengah jam.

Keputusan juga akan terus dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera individu yang membuat ujian saringan.

Sebuah klinik di Puchong pula menawarkan harga RM90 dan dimaklumkan ia adalah harga tetap yang dikenakan klinik tersebut sejak ujian RTK antigen diperkenalkan.

Bagi sebuah klinik terletak di Shah Alam, harga yang dikenakan adalah RM70 dan keputusan ujian akan diperoleh dalam tempoh 15 minit.

Salah seorang kakitangan klinik memberitahu, kit yang digunakan adalah kit profesional menyebabkan harga tetap dikenakan.

"Ada perbezaan dengan kit yang dibeli murah di luar sana. Kit yang kami gunakan untuk ujian RTK antigen adalah kit sama untuk kegunaan di hospital dan juga di lapangan terbang.

"Kita tahu ada klinik yang menawarkan RTK antigen serendah RM30 hingga RM50. Tapi kos kami membeli kit juga sudah lebih RM30 jadi tidak wajar untuk letak harga yang rendah seperti itu,” katanya.

Terhadap tiga klinik di Kuala Lumpur yang dahulunya menetapkan harga ujian RTK RM70, namun menawarkan harga antara RM48 sehingga RM60.

Klik di sini untuk terus membaca