SELEPAS dua bulan kes perbicaraan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlangsung, akhirnya ia bernoktah. Pada Jumaat lalu, sekumpulan juri di Amerika Syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS dua bulan kes perbicaraan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlangsung, akhirnya ia bernoktah.

Pada Jumaat lalu, sekumpulan juri di Amerika Syarikat (AS) mendapati Ng bersalah di atas kesemua pertuduhan berkaitan konspirasi mencuri ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Dalam laporan ini, Rasuah Busters merangkum dan mengimbas perjalanan pendakwaan kes yang penuh dengan drama sehinggalah akhirnya tertuduh disabitkan bersalah di Mahkamah Persekutuan New York.

Juri mendapati, Ng, 48, dari Malaysia, bersalah atas tiga pertuduhan - bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar dua undang-undang antirasuah serta sogokan berjumlah puluhan juta dolar yang didakwa didalangi oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

PENGAKUAN DAN KISAH CINTA LEISSNER

Seorang lagi bekas eksekutif Goldman Sachs, Timothy Leissner menjadi saksi utama perbicaraan Ng apabila lelaki itu terlebih dahulu telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan serupa.

Leissner pada 2018 mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan bersetuju melupuskan sejumlah AS$43.7 juta (RM184 juta).Jabatan Kehakiman AS mendakwa bahawa Ng, bersama Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Malaysia Jho Low dan lain-lain, bersubahat mencuri lebih AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion) daripada 1MDB.

Bagaimanapun, sesi perbicaraan terhadap Leissner membongkar pelbagai kejutan. Leissner mengaku ‘ketamakan dan cita-cita’ mendorong pembabitannya dalam skim rasuah melesapkan berbilion dolar dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Leissner mendakwa satu pertemuan di rumah Jho Low di Mayfair, London, di mana ahli perniagaan buruan itu menamakan individu yang menurutnya perlu disogok. Ini termasuklah pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi, Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Leissner mengaku berkomplot dengan membabitkan isterinya untuk menyembunyikan sogokan yang diterima kerana membantu menyelewengkan dana 1MDB. Dia mendakwa Roger Ng turut melakukan perkara sama.

Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa Bank Negara membenarkan pindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI). Leissner turut menyebut perihal rasuah membabitkan suami seorang bekas Gabenor BNM.

Leissner

Dalam perbicaraan penuh sensasi itu, Leissner ibarat menjatuhkan ‘bom’ di Malaysia apabila mengakui dia mempunyai mempunyai hubungan selama satu dekad dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma penyiaran Malaysia, Rohana Rozhan bermula 2003 hingga 2013.

Malah Leissner mendakwa, Rohana meminta dia membeli sebuah banglo bernilai AS$10 juta di London sebagai balasan ‘menutup mulut’ tentang kegiatan Leissner bersama 1MDB. Katanya, pembelian itu dilakukannya pada 2013 kerana wanita itu ‘sangat kecewa’ selepas hubungan mereka selama sedekad diputuskan kerana Leissner mahu mengahwini selebriti terkenal, Kimora Lee Simmons.

"Dia mengugut untuk dedahkan penglibatan saya. Pada masa itu, 2013, saya sangat takut ia berlaku,” katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

Ekoran pendedahan Leissner, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank Rohana.

Sebagai saksi utama kes Ng, Leissner turut menyebut beberapa nama dalam keterangan di mahkamah seperti Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

EMEL NG DIBONGKAR FBI

Ejen FBI, Ryan Collins menjadi saksi terakhir pasukan pendakwa raya kerana bekerja dalam pasukan FBI yang menyiasat kes rasuah dan kleptokrasi asing.

Collins memberi keterangan bahawa dia menyemak e-mel yang dihantar dan diterima oleh Ng dan lain-lain. Beliau turut menjelaskan carta yang disusun oleh kerajaan sekali gus menjejaki pertemuan dan komunikasi antara Jho Low, Ng, Leissner serta lain-lain.

Ng menurutnya, menghantar e-mel daripada beberapa alamat ketika berkomunikasi dengan Jho Low sewaktu tempoh urus niaga bon 1MDB. Hasil semakan akaun iCloud Ng dan beberapa individu yang disenaraikan adalah mereka yang menerima rasuah daripada Jho Low sebagai sebahagian daripada penipuan itu.

PEMBELIAN MEWAH HASIL DUIT 1MDB

Dalam penggulungan pendakwa raya, mereka menunjukkan bukti barangan yang dibeli hasil wang penyelewengan 1MDB termasuk rantai berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta). Berlian itu direka oleh Lorraine Schwartz di New York yang didakwa untuk isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagaimanapun juri tidak melihat rantai tersebut, sebaliknya ditunjukkan invois pembelian barangan kemas itu.

Jho Low juga dituduh menyalurkan dana 1MDB kepada rakannya, iaitu anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk membantu menghasilkan filem The Wolf of Wall Street.

Juri ditunjukkan gambar DVD filem itu dan tangkap layar daripada kredit filem yang mengucapkan terima kasih kepada Jho Low atas sokongannya.

Menurut pendakwa raya, entiti yang dikawal oleh Jho Low juga menggunakan wang 1MDB untuk membeli lima karya seni daripada rumah lelongan Christie pada harga AS$58.3 juta, termasuk AS$51.8 juta bagi karya Jean-Michel Basquiat bertajuk Dustheads.

Jho Low didakwa menyalurkan sejumlah duit untuk penerbitan filem 'The Wolf of Wall Street.'

NARATIF 'KAMBING HITAM' PEMBELAAN GAGAL

Peguam bela Ng, Marc Agnifilo, berpendapat, pendakwa raya AS menjadikan Ng sebagai ‘kambing hitam’ kerana jenayah yang dilakukan oleh orang lain, termasuk saksi utama kerajaan, Leissner, 52, yang mengaku bersalah dalam skandal itu pada 2018.

"Ng pada asasnya adalah ‘kambing hitam’ untuk semua ini. Dan Leissner sedang mencari jalan untuk menyelamatkan dirinya,” katanya.

Agnifilo menuduh Leissner, seorang pegawai bank Goldman yang berpangkat tinggi, secara palsu mengaitkan Ng dalam usaha untuk melonggarkan tuduhan kes jenayahnya sendiri.

"Leissner tidak pernah berhenti berbohong, meskipun di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo.

Susulan disabitkan bersalah, menurut Agnifilo, Ng mungkin akan membuat rayuan, bergantung kepada hasil keputusan selepas perbicaraan dan hukumannya.

Agnifilo bagaimanapun, kekal dengan pendiriannya meyakinkan Ng menolak ekstradisi untuk berdepan perbicaraan.

Pada pendapatnya, Ng mempunyai peluang yang lebih baik untuk perbicaraan yang adil di Amerika Syarikat berbanding di Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca