SHAH ALAM - Beberapa pimpinan utama parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan jangkaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah mengenai dengan tempoh masa yang diperlukan gabungan tersebut untuk kembali menawan Putrajaya.
Ia selepas Nurul Izzah mengatakan bahawa PH memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum boleh kembali menjadi kerajaan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pimpinan gabungan tersebut perlu membezakan antara bersikap realisitik dan ‘defeatist’ iaitu mudah menyerah kalah.
"Sementara dia (Nurul Izzah) bersikap realistik, maksudnya dia tengok Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor kalah, jadi dia cuba bersikap realistik bahawa PRU akan datang belum boleh menang dan PRU lagi sekali pun belum boleh menang.
"Dia percaya dan bersikap realistik tapi pada masa yang sama tanpa sedar dipamerkan pula ‘attitude’ sebagai seorang ‘defeatist’ yang sudah mengaku kalah sebelum masuk medan tempur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, sikap mudah mengalah itu itu juga dilihat tanpa sedar telah menghantar isyarat yang boleh melemahkan daya juang anggota parti dan rakyat.
Tambah beliau, pemikiran sedemikian juga dilihat hanya akan menyebabkan ramai pengundi atas pagar tidak mahu mengundi gabungan tersebut.
"Sekarang skripnya adalah nak menarik pengundi atas pagar. Tapi mana ada pengundi atas pagar yang nak bagi sokongan kepada parti yang kata dia tidak boleh menang pilihan raya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dengan mengambil iktibar daripada prestasi PKR pada PRU lepas, kekalahan pada PRN sebelum ini seharusnya tidak menjadi alasan untuk menyebabkan mereka menyerah kalah.
"Misalnya pada tahun 2004. PKR tinggal satu kerusi. Pada masa itu, semua penganalisis politik kata PKR boleh tutup kedai. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru bebas daripada penjara pada tahun 2004 dikatakan patut fikir soal bersara.
"Kalaulah PKR ambil sikap ‘defeatist’ macam itu, PKR tidak mampu bangun dengan menang 32 kerusi Parlimen pada PRU12,” katanya.
Menurutnya, kejatuhan PH pada tahun 2020 juga bukan disebabkan ditolak oleh rakyat tetapi kerana tindakan beberapa ahli Parlimennya yang lompat parti.
BENDERA PUTIH
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad pula percaya masih ada pilihan dan pendekatan yang boleh digunakan PH untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut pada PRU akan datang.
"Kita tidak nafikan keadaan kita hasil daripada PRN Melaka dan Johor menunjukkan kita agak lemah dari sudut sokongan masyarakat.
"Tetapi pada masa sama kita kena ambil kira bahawa jumlah keluar mengundi pun begitu rendah dan ada taktik dan strategi yang kita perlu kaji balik cara bagaimana kita hadapi pilihan raya tersebut.
"Kita tidak perlulah cepat sangat mengangkat bendera putih dan mengaku kalah sedangkan kita belum habis usaha lagi,” jelasnya.
Tambah Khalid, keperluan untuk menang pada PRU akan datang juga tidak seharusnya dianggap remeh kerana ia boleh memberikan kesan yang negatif terhadap politik dan ekonomi negara.
CETUS PEMIKIRAN BAHARU
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee berkata, dengan mengambil kira perubahan landskap politik negara termasuk pelaksanaan Undi18, beliau kurang bersetuju dengan ramalan yang dinyatakan oleh Nurul Izzah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pandangan tersebut juga berkemungkinan dikeluarkan bagi mencetus pemikiran baharu terhadap gabungan PH termasuk berkaitan usaha memperluaskan kerjasama bersama parti lain di samping memperbaharui tawaran kepada rakyat.
"Sekiranya nampak bahawa unjuran lebih kepada kita akan kalah dalam PRU ini, maka kita kena usaha supaya kita tidak kalah. Tapi saya juga nak bangkitkan soalan adakah unjuran tersebut akan membantu dalam usaha kita?” soal beliau.
Klik di sini untuk terus membaca