PENDAKWAAN ke atas penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang memiliki 17 pokok ganja dan 214 gram dadah mencetuskan perbahasan ramai pihak.
Pelbagai pandangan dilontarkan mengenai kaitan pemilikan ganja itu dengan keperluan perubatan apabila Yasin dikatakan menghidap bipolar.
Saya tak mahu ulas mengenai perkara tersebut. Biarlah mahkamah menjalankan peranan mereka dari sudut perundangan negara.
Dalam bab perubatan pula, banyak pakar dalam negara kita yang arif mengenai perkara itu boleh membuat kajian keberkesanan ganja sebagai ubat kepada manusia.
Apabila ganja menjadi antara isu yang hangat diperdebatkan selain kisah nasi Arab Cef Ammar, saya pun teringat kisah waktu muda belia dulu.
Kampung saya dikategorikan sebagai kawasan hitam penagihan dadah kerana boleh dikatakan banyak anak muda belia kampung yang terjebak dengan benda terlarang itu.
Kebanyakan anak muda mula terjebak kerana pengaruh kawan-kawan dan mereka bermula dengan menghisap rokok daun.
Pada waktu itu tiada kemudahan internet dan hiburan lain, maka kebanyakan anak muda akan melepak sambil berbual kosong, bermain gitar di pondok-pondok kecil yang dibina di beberapa tempat di kawasan kampung.
Gejala terlibat dengan dadah bermula apabila ada salah seorang daripada mereka membawa ganja ke pondok itu untuk dicuba, maka habis semua anak muda yang selalu melepak bersama akan menghisap ganja.
Bermula dengan cara menghisap ganja bersama rokok daun dan tembakau jawa, teknik menghisap ganja makin ‘naik pangkat᾿ apabila mula menggunakan ‘dapur᾿ yang diiring lagu kumpulan Deep Purple, Smoke On The Water.
Selepas bosan khayal dengan ganja, mereka mula mencuba pelbagai dadah lain yang akhirnya menjerumuskan diri kepada kaedah suntikan.
Maka apabila sudah terjebak dengan dadah kategori berat seperti heroin, maka ‘taik pit᾿ (panggilan untuk penagih di Kedah) sudah mula terlibat dengan mencuri, mengugut ibu bapa untuk membeli dadah.
Ada juga beberapa penagih di kampung saya yang meninggal kerana sudah dijangkiti HIV/Aids akibat perkongsian jarum antara mereka.
PESANAN IBU
Saya bersyukur kerana mak kesayangan tidak pernah lekang daripada mulut dan boleh dikatakan setiap hari akan berpesan, menasihati dan berleter supaya tidak terjebak dengan dadah.
Kerana nasihat tanpa henti itu saya menjauhi golongan yang boleh menyebabkan saya terjebak dengan dadah.
Tapi oleh kerana alamat di kad pengenalan tertera kawasan yang diketahui polis sebagai lokasi dalam senarai perhatian penagihan dadah, saya sering terkena tempiasnya.
Boleh dikatakan apabila ada sekatan jalan raya, polis akan mengarahkan saya untuk menjalani ujian urin.
Walaupun penampilan tidaklah terlalu selekeh dengan menunggang motor Yamaha RXZ yang mematuhi piawaian polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya tetap diarahkan untuk menjalani ujian air kencing selepas anggota polis melihat kad pengenalan.
Pernah satu ketika, saya masih ingat lagi apabila ditahan di satu sekatan jalan raya, saya mungkin pada waktu itu kurang minum air dan tidak dapat kencing.
Maka, seorang anggota polis tiga calit berkumis tebal berkata: "Kalau takleh kencing senang saja, hang pi lompat kat sana sampai boleh kencing,” katanya dengan surau garau.
Nampaknya teknik itu berkesan kerana tidak perlu hingga ke tahap lompat bintang atau berguling, saya dapat kencing dan syukur ujiannya negatif. Walaupun kerap ditahan, saya tidak pernah ‘sangkut᾿ kerana memang bukan penagih dadah.
Kini, suasana di kampung sudah berbeza apabila gejala penagihan tidak seteruk dulu kerana anak-anak muda sudah bijak dan tidak mudah terjebak dengan dadah.
Polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga memang proaktif mengawal kes di kawasan kampung supaya tidak menjadi barah yang merosakkan anak bangsa.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca