SHAH ALAM - Pada saat kerajaan berusaha melaksanakan Akta Anti Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seorang ahli Parlimen pembangkang bersetuju dengan pandangan pelaksanaannya perlu disekalikan dengan Akta Pendanaan Politik.
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, inisiatif itu sangat penting bagi memastikan keutamaan penyediaan padang politik di Malaysia yang sama rata dan sebaik mungkin dapat direalisasikan.
Jelas beliau, selagi negara belum dapat menyelesaikan bab berkenaan, maka insentif pihak tertentu termasuk golongan oligopoli dan pemegang Permit Import (AP) tidak bertanggungjawab cuba meraih sokongan wakil rakyat akan berterusan, meskipun Akta Anti Lompat Parti digubal kelak.
Tegas Nurul Izzah, berdasarkan terma ekonomi iaitu penawaran dan permintaan, sekiranya ada ahli politik yang diberikan tawaran dan habuan melompat parti, sudah tentu kerajaan perlu meneliti tindakan terhadap pihak yang mengemukakan tawaran kepada mereka.
"Jadi isu lompatan (wakil rakyat) perlu dilihat dari segi senario padang kewangan tidak sama rata. Sebagai contoh, kita melihat usaha memberi peruntukan sama kepada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan itu langkah pertama yang baik.
"Pada masa sama, tiada pihak boleh menafikan kekuatan pendanaan bagi setiap parti itu berbeza nisbahnya.
"Ada sesetengah parti politik dikenal pasti memiliki dana berbilion ringgit, tetapi ada juga sebahagian parti memang terpaksa bergantung kepada pendanaan rakyat (crowdfunding).
"Justeru, bagi memastikan insentif tawaran wakil rakyat lompat parti dapat dikurangkan, ia kena bersekali dengan Akta Pendanaan Politik,” ujarnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Sinar Premium pada Rabu.
Elak dibeli
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengakui, Akta Pendanaan Politik penting untuk membolehkan kerajaan melaksanakan sesuatu polisi atau dasar memihak kepada rakyat, tanpa kebimbangan dicengkam pihak tertentu yang berkemungkinan mendanai kempen pilihan raya mereka.
Namun, beliau mengakui usaha pelaksanaannya tidak mudah kerana ekosistem politik negara dipenuhi pihak memiliki dana besar dengan mereka akan melobi pihak tertentu termasuk pemegang AP.
"Persoalan paling penting adalah bagaimana kita merungkai kandungan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.
"Jadi kena pastikan kita jemput pakar perlembagaan, pakar kewangan dan melihat kepada pelaksanaannya di luar negara. Tidak ada mana-mana undang-undang sempurna.
"Kita kena fikir impak dan kesan supaya mewujudkan ekosistem sihat untuk menolak dan menghindar ahli Parlimen mudah dibeli, keduanya untuk memastikan ia sama rata padang politik bagi pembangkang dan kerajaan.
"Kita selalu lupa, terma pembangkang bermaruah sering saya tekankan kerana bagi saya, sudah berpeluang menjadi wakil rakyat pun seharusnya kita kena bersyukur. Tanpa pembangkang pula, kerajaan tidak mungkin terus mentadbir. Rakyat pula tidak dapat manfaatnya kalau pembangkang tidak mendesak dan mengkritik kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Izzah berpandangan langkah sebaiknya adalah Akta Pendanaan Politik perlu dibincangkan hanya menerusi mekanisme pembentukan sebuah Jawatankuasa Pemilih Khas Parlimen bagi tujuan itu, sebagaimana usaha kerajaan dalam menangani isu penggubalan Akta Anti Lompat Parti.
"Kita tidak mahu ia menjadi satu lagi cara memusatkan kuasa pihak eksekutif. Di Malaysia, pernah berlaku pemecatan ahli Parlimen dan timbalan presiden yang tidak sekepala dengan presiden parti. Ia tidak mewakili kepentingan rakyat,” tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca