SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta segera membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low bagi dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Eksekutif Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4), Cyhthia Gabriel berkata, selain berusaha keras mengesan keberadaan Jho Low, PDRM juga perlu lebih agresif memburu individu yang paling dikehendaki negara itu bagi dibawa pulang.
Katanya, usaha membawa pulang Jho Low seterusnya dibicarakan merupakan satu perkara yang sangat utama untuk diselesaikan kerana kes tersebut turut melibatkan banyak pihak di peringkat antarabangsa apabila berlaku pengubahan wang haram.
Jelasnya, perbicaraan ke atas individu bernama Jho Low itu bakal merungkai sepenuhnya isu skandal 1MDB kerana dia adalah ‘pemain utama’ di dalam kes berprofil tinggi tersebut.
"Rakyat Malaysia sangat berharap agar Jho Low segera ditangkap dan dibawa pulang bagi dibicarakan sekali gus menyelesaikan isu 1MDB.
"Kemas kini segera mengenai siasatan polis tentang keberadaan Jho Low yang sehingga kini masih berjaya mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Cyhthia berkata, pemburuan ke atas Jho Low dilihat telah mencapai satu tempoh yang agak lama.
Katanya, PDRM sebelum ini ada menyatakan tempoh tertentu diperlukan bagi memberkas Jho Low, namun sehingga ini ahli perniagaan itu gagal dijejak.
"Bekas Ketua Polis Negara (KPN) sebelum ini telah memberikan tarikh akhir pencarian tetapi usaha itu dilihat menemui jalan buntu apabila gagal memenuhinya.
"Sementara KPN yang baharu masih belum memberi sebarang perkembangan terkini berhubung siasatan dan usaha membawa pulang Jho Low.
"Saya mewakili C4 sangat berharap PDRM dapat melaksanakan tugas sebaik-baiknya untuk memburu dan membawa pulang individu yang paling dikehendaki ini bagi dibicarakan ke muka pengadilan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca