RAMADAN 2022 pasti paling menggembirakan kerana tidak seperti tahun sebelumnya, kita sudah mengetahui kali ini akan pulang berhari raya di kampung. Penulis terima banyak pertanyaan daripada sahabat akrab dan rakan sekerja. Soalannya sama... Klik di sini untuk terus membaca

RAMADAN 2022 pasti paling menggembirakan kerana tidak seperti tahun sebelumnya, kita sudah mengetahui kali ini akan pulang berhari raya di kampung.

Penulis terima banyak pertanyaan daripada sahabat akrab dan rakan sekerja. Soalannya sama sahaja. Selain meramalkan kesesakan maksimum sepanjang perjalanan pulang kampung, mereka bertanya apakah yang perlu dilakukan kepada kereta mereka.

Justeru, sebagai pakar kejuruteraan permotoran, penulis ingin berkongsi petua terpenting untuk dilakukan sebelum pulang kampung.

Awalnya penulis bercadang untuk berkongsi kepakaran seminggu sebelum Aidilfitri. Namun, apabila mengenang angka kematian akibat kemalangan di Malaysia antara tertinggi di dunia, penulis segerakan artikel ini.

Ia juga sesuai dengan saranan ALLAH SWT supaya manusia menjaga keselamatan diri, nyawa dan harta benda sebagaimana Surah Al-Baqarah ayat [2:195] bermaksud: "Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan ALLAH dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Seperti biasa, sebelum pulang kampung, penulis berharap pengguna mematuhi peraturan biasa seperti pakai tali pinggang keledar, amalkan pemanduan bertahan (defensive driving), berhati-hati ketika di persimpangan, jangan guna telefon bimbit ketika memandu, pastikan lampu kereta menyala pada waktu malam atau hujan. Sebelum pulang, periksa juga sistem enjin, gear, brek, tayar, lampu dan cermin tepi kereta.

Jika enjin didapati panas, baiki air penyejuk radiator. Kalau enjin terasa berat, berkemungkinan anda salah memilih jenis minyak enjin. Bagi yang pulang dengan kereta baharu, amalkan pemanduan break-in period iaitu kelajuan bawah 80 kilometer sejam (km/j).

PEMBAKARAN DALAMAN

Penulis mendapati ramai yang memanaskan enjin dengan membiarkannya pada keadaan ‘idle’ sebelum bergerak. Sebenarnya, enjin yang tidak beroperasi pada suhu kemuncak akan mengakibatkan pembakaran bahan api kurang lengkap. Akhirnya, berlaku mendapan jelaga pada dinding silinder sekaligus menyebabkan komponen di bahagian enjin mengalami pembakaran dalaman.

Setelah bergerak, penulis mencadangkan pemanduan bertahap. Sekiranya kereta sudah lama tidak digunakan pulang kampung, berkemungkinan berlaku kehausan pada enjin kereta khususnya dalam tempoh 20 minit pertama. Petua seterusnya kurangkan ketegangan pada enjin dan gear automatik dengan meletakkan kepada neutral ketika berhenti di lampu isyarat merah.

Jika tidak, enjin masih berfungsi atau mempunyai daya kilas menolak kereta bergerak walaupun semasa berhenti. Anda juga boleh mematikan lampu hadapan ketika berhenti di lampu isyarat jika memandu pada waktu malam.

Penulis menyarankan agar sentiasa amalkan pemanduan berhati-hati sepanjang perjalanan pulang. Elakkan permulaan, hentian dan belokan secara mengejut. Kurangkan juga memegang stereng pada kedudukan melampau kanan atau kiri selama lebih daripada beberapa saat ketika membelok kiri atau kanan kerana ini boleh mempercepatkan kerosakan pada pam stereng kuasa.

Senario ini juga sering anda lihat iaitu ada lori tangki stesen minyak sedang mengisi stok. Elakkan mengisi minyak pada waktu ini kerana gelora dalam tangki bawah tanah stesen minyak boleh menimbulkan sedimen atau mendapan habuk halus. Sedimen akan masuk ke dalam tangki kereta dan boleh menyumbatkan penapis dan penyuntik bahan api. Kesannya prestasi kereta boleh terjejas.

Jika anda sudah lama tidak menggunakan kereta untuk tempoh lebih sebulan, pastikan ada minyak pada tangki kereta. Ini bagi mengelakkan pemeluwapan terkumpul dalam tangki.

Paling penting ialah kekalkan julat beban antara 60 dan 90 kilogram bagi menghindarkan berlaku kehausan melampau kepada komponen sistem gear dalaman.

Kekalkan juga bacaan tekanan tayar kepada nilai tepat mengikut spesifikasi pengeluar kereta anda. Lakukan penjajaran roda dan periksa tahap minyak brek serta pastikan brek anti-kunci berfungsi.

Penulis pasti ramai tidak sabar untuk pulang beraya. Pandemik Covid-19 menyaksikan terlalu banyak air mata berjurai pada Aidilfitri 2020 dan 2021. Semoga Aidilfitri 2022 memberi sinar baharu kepada ikatan ukhwah keluarga kita.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca