SHAH ALAM - Ramalan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin jadi realiti jika parti pembangkang terus leka dan tidak mempedulikan masalah rakyat.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, beliau melihat kenyataan Nurul Izzah itu sebagai satu amaran keras dan cabaran kepada semua pemimpin PH supaya terus berusaha bersungguh untuk memenangi hati rakyat semula selepas kejatuhan mereka susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Langkah Sheraton pada 2020.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kebimbangan disuarakan oleh bekas bosnya itu realistik dan mungkin boleh berlaku jika PH tidak mempunyai hala tuju dan pendirian tegas menjelang PRU15 nanti.
"Saya menganggap kenyataan Nurul Izzah bahawa PH mungkin kalah dalam pilihan raya akan datang adalah satu amaran supaya kita lebih realistik kerana sehingga kini kita masih tiada hala tuju dan dasar yang jelas.
"Kenyataan itu juga satu cabaran kepada semua pemimpin PH dan PKR supaya kita melakukan yang terbaik dalam pilihan raya akan datang kerana nasib dan masa depan rakyat bergantung kepada kemenangan kita.
"Kalau PH kalah maka nasib pengundi dan rakyat akan kembali kepada zaman Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum PRU14," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Premium melaporkan Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh meramalkan PH memerlukan sekurang-kurang lima tahun atau dua pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) lagi untuk kembali menguasai Putrajaya.
Nurul Izzah berkata, PH juga diramal bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.
Justeru, Nurul Izzah berkata, PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang berbeza dan lebih realistik berbanding dalam PRU14 lalu.
"Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.
"Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya dalam temu bual Eksklusif bersama Sinar Premium di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Rabu.
Klik di sini untuk terus membaca