HARI ini, Mat Taici tengok nama Sam Ke Ting kembali menjadi perhatian rakyat Malaysia susulan kes kematian lapan remaja berkaitan tragedi basikal lajak yang berlaku di Johor Bahru, Johor pada 2017.Namun, situasinya Mat Taici lihat berbeza... Klik di sini untuk terus membaca
HARI ini, Mat Taici tengok nama Sam Ke Ting kembali menjadi perhatian rakyat Malaysia susulan kes kematian lapan remaja berkaitan tragedi basikal lajak yang berlaku di Johor Bahru, Johor pada 2017.

Namun, situasinya Mat Taici lihat berbeza berbanding masa dia mula-mula dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru pada 28 Mac 2017.

Pada ketika itu, ramai yang mengecam wanita berusia 27 tahun itu kerana masing-masing yakin cara pemanduannya menyebabkan kematian remaja berusia 13 hingga 17 tahun itu.

Majoriti netizen di negara ini nampaknya geram dengan apa yang berlaku dan mereka terang-terangan meletakkan kesalahan 100 peratus kepada wanita itu.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Ke Ting pada Rabu lepas.

Selepas mendengar keputusan perbicaraan panjang selama lima tahun itu Mat Taici tengok netizen tiba-tiba jatuh simpati dan cenderung berpihak kepada wanita tersebut.

Rata- rata menyatakan rasa kecewa dengan hukuman dijatuhkan ke atas Ke Ting kerana berpendapat ia terlalu berat.

Tak cukup dengan itu, ramai juga Mat Taici tengok netizen yang bersuara lantang dan tampil memberikan sokongan moral terhadap wanita tersebut.

Dia yang dulunya teruk dikecam oleh warga media sosial kini dibela dan diberikan perhatian sehingga namanya kembali menjadi topik perbincangan.

Susulan itu, buat pertama kalinya Mat Taici tengok netizen membuat pusingan U sebagai tanda sokongan kepada kerani wanita itu.

Tapi, apakan daya... mahkamah telah menjatuhkan hukuman dan rasa simpati netizen terhadap wanita tersebut tidak akan mengubah keputusan kes.

Segalanya hanya bergantung kepada permohonan rayuan yang difailkan oleh Ke Ting kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam hal ini, Mat Taici enggan memberikan sebarang komen tapi teringin pula nak beri sedikit nasihat kepada netizen supaya berhenti mengecam orang lain.

Jangan terlalu taksub nak mengambil bahagian dalam semua hal sehingga menimbulkan kekeliruan dan ketidakpastian kepada orang lain.

Akhirnya, sendiri terpaksa menanggung malu kerana terpaksa buat pusingan U selepas sedar insan yang dikecam itu sebenarnya tidak seperti apa yang disangkakan.

Pss: Mat Taici dulu, kini dan selamanya sentiasa dikecam Klik di sini untuk terus membaca