SHAH ALAM - Solidariti #JusticeForBella yang digerakkan oleh orang awam adalah sebagai tekanan kepada pihak berwajib untuk membuka mata dan membela remaja kurang upaya (OKU) terbabit.
Co-Founder SCRUT dan aktivis #JusticeForBella, Aliff Ahmad berkata, gerakan ini bukan sekadar untuk membela remaja Sindrom Down yang berumur 13 tahun itu, sebaliknya mereka yang senasib dengan remaja malang berkenaan.
"Sebagai orang awam, kita hanya mampu memberikan tekanan kepada apa-apa kejadian sebegini dengan cara kita. Tetapi sebenarnya, kejadian sebegini sepatutnya diambil peduli oleh pihak berwajib dan yang ada kuasa untuk menyuarakan hal ini.
"Malangnya disebabkan tiada suara-suara ini datang untuk membela adik Bella secara khusus, sebab itu saya dipanggil untuk memberikan tekanan sedangkan yang sepatutnya orang yang menjaga dan dibayar gaji untuk menjaga anak-anak OKU atau lemah ini perlu ke depan dahulu.
"#JusticeForBella ini terpaksa dilakukan apabila kita lihat banyak isu lain yang timbul dan saya rasa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-338 bertajuk 'Nasib Adik Bella, OKU Siapa Harus Bela' pada Jumaat.
Program itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dan pensyarah yang juga aktivis #JusticeForBella, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar.
Sementara itu, Aliff mengakui dia antara individu yang lantang menulis tentang badan bukan kerajaan (NGO) adalah satu industri yang boleh membuat duit.
"Saya ada kawan yang tiada apa-apa tetapi selepas membuat NGO, jadi kaya raya. Sebab itu kita boleh tengok, orang-orang tertentu yang boleh bekerja elok dan berada dalam bidang profesional tetapi sanggup berhenti dan menggerakkan NGO sepenuh masa.
"Kenapa? Sudah pasti pendapatannya jauh lebih lumayan dan boleh buat duit. Saya lebih dekat dengan terma ‘penunggang NGO’ kerana dengan undang-undang lapuk ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), mudah sahaja kerana tidak perlu diaudit, hanya buat laporan kewangan.
"Walaupun NGO itu telah kumpulkan berpuluh juta ringgit sekalipun, itulah prosedurnya. Sebab itu orang menggunakan NGO untuk membuat duit dan mereka banyak membuat saluran seperti memberikan pek makanan, membuat rumah perlindungan tetapi pada akhirnya mereka mengkayakan diri mereka sendiri,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca