PADA Khamis, badan pembuat keputusan tertinggi UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akhirnya membuat satu ketetapan besar dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy parti itu bagi mendepani Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Khamis, badan pembuat keputusan tertinggi UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akhirnya membuat satu ketetapan besar dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu amat mengejut pada saat UMNO dipercayai terpecah kepada dua kelompok persaingan iaitu kem Putrajaya dipelopori Ismail Sabri sendiri serta kem penyokong Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau lebih dikenali sebagai kem PWTC, sejurus selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menawan Putrajaya tahun lalu.

Selain keputusan penting itu, seramai 56 ahli MKT parti juga bersetuju satu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas akan diadakan selepas Aidilfitri bagi meminda perlembagaan parti berhubungan pelaksanaan pemilihan UMNO selepas pilihan raya umum.

Bagi ramai pemerhati politik, keputusan itu dilihat sebagai bukti solidariti kepimpinan UMNO dalam menghadapi PRU15 masih utuh dengan Ismail Sabri menyifatkan pendirian MKT itu menunjukkan parti tidak pernah mempunyai kem seperti didakwa.

Keputusan MKT UMNO mengesahkan pemilihan Ismail Sabri sebagai poster boy parti itu bagi mendepani PRU15 lebih dilihat sebagai usaha kem PWTC memujuk Perdana Menteri itu supaya membubarkan Parlimen lebih awal.

Bagaimanapun, apabila pengumuman Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri UMNO tidak disertakan dengan jaminan beliau bakal diberi kepercayaan untuk mengemudi parti selepas PRU15, keputusan MKT sebenarnya lebih menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Paling penting, dengan keputusan sebulat suara UMNO itu, adakah Pas akan mengubah pendirian politik dan kembali tertarik untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN)?

Dengan pendirian Naib Presiden UMNO sewaktu PAU 2021, jelas berbeza dengan kehendak Ahmad Zahid apabila Ahli Parlimen Bera itu cuba meraih sokongan perwakilan parti untuk membolehkan kerajaannya terus mentadbir sehingga habis penggal pada tahun hadapan, sedangkan kem PWTC menuntut PRU15 secepat mungkin.

Pemerhati politik sebaliknya berpandangan, keputusan MKT itu tidak lebih sekadar usaha kem PWTC untuk berkompromi dan memujuk Ismail Sabri supaya membubarkan Parlimen lebih awal bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Keputusan itu juga menunjukkan Ahmad Zahid cuba berlembut dengan kem Putrajaya dipimpin Ismail Sabri kerana menyedari kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan perdana menteri dan bukan presiden parti seperti beliau.

"Namun, jika keputusan pemilihan Ismail Sabri dilihat sebagai solusi tuntas kepimpinan UMNO menghadapi PRU15, perkara itu masih samar kerana kem Putrajaya pastinya tidak mudah termakan dengan ‘pujukan’ berkenaan.

"Situasi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan tiada jaminan seseorang pemimpin yang dijanjikan sebagai calon ketua kerajaan akan benar-benar diangkat ke jawatan itu sekiranya beliau tidak dilantik sebagai ketua parti,” ujar Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Mengenai pendirian Pas selepas Ismail Sabri dinamakan sebagai poster boy UMNO, tidak dinafikan banyak pihak beranggapan parti yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) itu mungkin akan kembali tertarik memperkasakan MN demi mengukuhkan peluang kemandirian politiknya.

Ada juga pihak berpendapat Pas mungkin akan mengkaji semula kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum PRU15 susulan pemilihan Ismail Sabri sebagai pemimpin UMNO lebih bersih dan kurang kontroversi, dijangka mengembalikan keyakinan segmen pengundi atas pagar kaum Melayu terhadap UMNO.

SUKAR DIREALISASIKAN

Bagaimanapun, dengan UMNO masih dianggap musuh ketat parti itu di beberapa negeri kubu kuat Pas seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, Mazlan berpandangan andaian sedemikian sukar menjadi realiti.

"Saya tidak nampak sebarang usaha dua parti itu untuk merapatkan kembali hubungan menerusi MN mampu direalisasikan kesan keputusan MKT.

"Dengan Ismail Sabri sebelum ini lebih dilihat cenderung bersama PN, keputusan pemilihan Ahli Parlimen Bera sebagai poster boy UMNO sebenarnya lebih meningkatkan keyakinan Pas bahawa usaha penyatuan ummah di antara UMNO, Pas dan Bersatu kini lebih realistik untuk dijayakan.

MAZLAN

"Paling penting, keputusan PRN Melaka dan Johor sebenarnya menunjukkan Pas lebih selesa dan mendapat lebih banyak undi bersama PN termasuk kemenangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Johor, negeri di mana parti itu tiada kekuatan politik.

"Ini kerana Pas sebagai sebuah parti yang bersifat dominan, lebih selesa mengawal dinamik hubungan politik dengan Bersatu di bawah PN berbanding dengan hubungan UMNO-Pas yang lebih bersifat ‘api dengan api’,” kata Mazlan lagi.

Klik di sini untuk terus membaca