SHAH ALAM - Sindiket dan penjenayah di laut dikesan cuba mengambil kesempatan melakukan kegiatan pencerobohan dan penyeludupan ketika musim perayaan kerana beranggapan penguatkuasaan longgar.
Bagaimanapun, situasi sebenar adalah sebaliknya apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melaksanakan Ops Khas Pagar Laut bermula 19 April hingga 17 Mei ini bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, umumnya pelaku jenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang pada musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan berhari raya.
Katanya, situasi ini sering kali diambil kesempatan oleh sindiket dan penjenayah dengan melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan penipuan melalui jalan laut.
"Menyedari ancaman yang bermusim serta berdasarkan trend aktiviti jenayah musim perayaan Aidilfitri sebelum ini, Maritim Malaysia tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi, malah operasi khas seperti Ops Khas Pagar Laut dilancarkan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutama di setiap titik panas seluruh negara.
"Seterusnya memastikan langkah pencegahan yang efektif dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, Ops Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun ketujuh berikutan cabaran dan ancaman yang berbeza antara negeri-negeri.
Menurut Mohd Zubil, sebagai contoh negeri-negeri di sepanjang Selat Melaka berhadapan dengan aktiviti penyeludupan dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kontraban manakala di pantai timur diancam aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.
"Sabah, Sarawak dan Labuan turut berhadapan ancaman penyeludupan kontraban, PATI, dadah serta barang kawalan bersubsidi,” ujarnya.
Mohd Zubil menambah, di samping memastikan keselamatan perairan, Maritim Malaysia juga bersedia mengerahkan aset-aset laut atau udara bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (SAR).
Klik di sini untuk terus membaca