SHAH ALAM - Pihak berkuasa Malaysia menahan antara 30 hingga 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) setiap hari yang cuba menceroboh sempadan negara sama ada melalui jalan darat atau laut. Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pihak berkuasa Malaysia menahan antara 30 hingga 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) setiap hari yang cuba menceroboh sempadan negara sama ada melalui jalan darat atau laut.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, masyarakat umum mungkin tidak tahu akan perkara ini tetapi laporan mengenai pencerobohan PATI dikemas kini setiap 12 jam.

"Aktiviti ini bertebaran di seluruh sempadan negara, sama ada di Tebedu, Sarawak, di sempadan Sabah, Johor, Kedah atau Sungai Golok di Kelantan,” ujarnya dalam pertemuan dengan portal berita bahasa Inggeris, Sinar Daily.

Rodzi menambah, dalam operasi yang dinamakan "Ops Benteng”, gabungan agensi keselamatan di bawah Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) bekerjasama dalam usaha membanteras dan mengawal kemasukan PATI di sempadan negara yang luas itu.

Rozi

"Di Selangor misalnya, PATI kerap kali akan mendarat di Klang, Morib, Kelanang dan Sepang kerana kesemua kawasan ini terletak di kawasan perairan. Begitu juga di Pengerang dan Kota Tinggi, Johor.

"Kita juga mengerahkan Pasukan Gerakan Am membuat sekatan jalan raya dan membina checkpoints 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu,” katanya lagi.

Menurut Rodzi, mereka juga menggunakan motosikal elektrik yang lebih senyap untuk meronda dan membuat intipan.Jelasnya, oleh sebab Ops Benteng dilakukan dalam skala yang besar, jumlah tangkap PATI semakin bertambah setiap hari.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pusat tahanan imigresen yang menempatkan PATI dan warga asing yang telah tamat tempoh sah kemasukan ke negara ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Kata Rodzi, bukan sahaja keadaan pusat berkenaan selamat dan memuaskan malah tahanan juga telah dijaga dengan elok.

"Keadaan pusat tahanan kita jauh lebih baik berbanding kebanyakan negara luar. Tahap kesihatan para tahanan juga sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa,” tegas beliau.

Antara lokasi biasa PATI cuba ceroboh Malaysia

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya pusat tahanan PATI itu padat dan berada dalam keadaan yang menyedihkan.

Kementerian Dalam Negeri pada 2020 menyatakan bahawa terdapat lebih 750 kanak-kanak warga asing ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara termasuk 326 kanak-kanak dari Myanmar yang ditahan tanpa ibu bapa atau penjaga.

Dalam konteks ini, Rodzi menjelaskan badan-badan hak asasi manusia seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sentiasa membuat pemantauan ke atas pusat-pusat ini dari masa ke masa.

Klik di sini untuk terus membaca