SHAH ALAM - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya lolos dipercayai lebih ramai berbanding 30 hingga 45 orang yang ditahan setiap hari di sempadan negara sama ada melalui jalan darat atau laut. Penganalisis Jenayah, Datuk Shahul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya lolos dipercayai lebih ramai berbanding 30 hingga 45 orang yang ditahan setiap hari di sempadan negara sama ada melalui jalan darat atau laut.

Penganalisis Jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana perairan negara terbentang luas dan jumlah pihak berkuasa juga tidak mencukupi untuk menjaga sempadan negara.

"Besar kemungkinan banyak lagi yang telah melepasi negara kita. Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjaga kawalan sempadan negara perlu lebih serius menangani masalah pencerobohan ini.

"Kalau terlalu ramai penceroboh dan senang sangat masuk ke negara ini, kita bimbang ia boleh mengancam keselamatan negara.

"Kalau penceroboh biasa yang mahu bekerja di sini boleh masuk, kita bimbang dan takut penceroboh yang tidak diingini akan masuk ke negara kita seperti yang berlaku di Sabah (sebelum ini),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Shahul Hamid menambah, aspek persempadanan negara dan kemasukan PATI juga harus dikaji semula oleh pihak berkuasa.

"Tempat-tempat panas perlu diteliti dan pada masa yang sama kita perlu lihat di tempat lain.

"Penceroboh ini juga mempunyai kepandaian kerana apabila sudah ada pihak berkuasa yang tunggu di tempat-tempat panas, mereka akan masuk melalui tempat lain,” ujarnya.

Shahul Hamid juga mengakui PATI boleh memasuki negara ini disebabkan kelengkapan pihak berkuasa masih belum mencukupi.

"Orang nak menceroboh ini lebih cekap daripada kita. Contohnya kita gunakan bot 100 kuasa kuda, dia gunakan 200 kuasa kuda. Dia lebih pantas daripada kita. Itu yang kita kena waspada dan serius menangani masalah ini,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca