BEBERAPA negara Eropah enggan mengakui bahawa Rusia pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Ukraine sehingga menyebabkan timbulnya ketegangan dengan Kiev. Namun, penggunaan istilah undang-undang yang tepat untuk menggambarkan perbuatan... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA negara Eropah enggan mengakui bahawa Rusia pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Ukraine sehingga menyebabkan timbulnya ketegangan dengan Kiev.

Namun, penggunaan istilah undang-undang yang tepat untuk menggambarkan perbuatan itu sebenarnya telah lama menjadi satu pertikaian politik.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Kenyataan itu turut dibuat oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau manakala Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menganggap Moscow melakukan tindakan yang hampir menyamai dengan istilah genosid.

Namun, Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut disokong oleh Canselor Jerman, Olaf Schol menolak untuk menggunakan istilah pembunuhan beramai-ramai itu sehingga mengakibatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menganggap penolakan itu sebagai 'menyakitkan'.

Zelenskyy berulang kali menganggap tentera Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai di negaranya sejak perang antara Rusia dengan Ukraine bermula pada 24 Februari lalu.

Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan Presiden Emmanuel Macron dari Perancis tidak sependapat dengan penggunaan istilah genosid. - Foto AFP

Istilah pembunuhan beramai-ramai pertama kali diperkenalkan oleh seorang peguam dan aktivis Poland, Raphael Lemkin pada tahun 1940an.

Ia kemudian termaktub dalam Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 setelah pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi dan kumpulan minoriti lain dalam Perang Dunia Kedua.

Di bawah konvensyen itu, istilah pembunuhan beramai-ramai bermaksud ia dilakukan dengan niat untuk memusnahkan secara keseluruhan atau sebahagian ke atas kumpulan penduduk, etnik, kaum atau agama.

Presiden Rusia, Vladimir Putin juga telah menggunakan istilah pembunuhan beramai-ramai bagi menggambarkan apa yang dikatakannya sebagai penganiayaan terhadap para penutur bahasa Rusia di timur Ukraine namun dakwaan tersebut ditolak oleh sekutu Barat Kiev.

Bagaimanapun, istilah 'holocaust' atau holokus dalam bahasa Melayu yang membawa maksud pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi juga pernah digunakan sebelum ini.

Ia juga digunakan untuk menggambarkan keadaan yang menimpa etnik Tutsi pada tahun 1994 di Rwanda, Afrika.

Dalam pada itu, Macron pada 14 April lalu ketika mengulas kenyataan Biden itu menyatakan bahawa para pemimpin perlu berhati-hati ketika mereka menggunakan istilah pembunuhan beramai-ramai.

Presiden Perancis itu berkata, penggunaan istilah pembunuhan beramai-ramai terbabit perlu digunakan secara berhati-hati dalam situasi Perang Ukraine kerana sebahagian penduduk negara itu dengan Rusia adalah bangsa yang bersaudara.

Namun, Zelenskyy mengecam keengganan Macron untuk mengkategorikan pembunuhan di Ukraine sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menganggap sebahagian penduduk Rusia dengan Ukraine sebagai rakyat yang bersaudara.

Sejak akhir-akhir ini, China dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti Uighur manakala di Myanmar pula pihak junta tentera melakukan perkara yang sama ke atas penduduk Muslim Rohingya.

Sebelum ini juga, Turki telah lama menolak pendirian Armenia bahawa pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Armenia semasa Perang Dunia Pertama dilakukan oleh tentera Uthmaniyyah.

Turki marah terhadap kerajaan Barat yang menganggap pembunuhan beramai-ramai berlaku ke atas penduduk Armenia dan pada tahun 2021 Biden turut mengiktiraf kejadian itu.

Cecily Rose yang merupakan seorang profesor undang-undang awam antarabangsa di Universiti Leiden di Belanda menyatakan terdapat bukti untuk menyokong kejadian pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar dan Uyghur di China.

Namun, beliau mengingatkan bahawa istilah pembunuhan beramai-ramai perlu digunakan oleh ahli-ahli politik dengan berhati-hati.

Seorang profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Middlesex, London, William Schabas menyatakan bahawa perkataan genosid digunakan apabila istilah seperti jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan nampaknya tidak cukup kuat untuk digunakan.

"Perkataan pembunuhan beramai-ramai mempunyai definisi undang-undang yang tepat tetapi ia juga digunakan secara meluas oleh ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis kerana keupayaan perkataan tersebut yang boleh mengapi-apikan (perasaan orang ramai) dan mengujakan," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Ketua pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda, Karim Khan telah pun membuka siasatan ke atas Ukraine dan mengadakan perbincangan maya dengan Zelenskyy mengenai apa yang kelihatan seperti kejadian pembunuhan orang awam yang dilakukan tentera Rusia.

Berikutan itu, Celine Bardet iaitu seorang peguam dan penyiasat jenayah antarabangsa memuji siasatan ke atas pembunuhan orang awam dibuka dengan cepat tetapi beliau berharap ia dapat dilakukan terhadap semua konflik yang telah berlaku di seluruh dunia.

Sambil menggesa agar emosi tidak digunakan untuk menghalang keadilan daripada terlaksana, beliau berkata, ICC berisiko untuk mengukuhkan dakwaan bahawa ia hanya menjalankan tugas-tugasnya apabila pihak Barat mendorongnya untuk berbuat demikian.

Keadaan itu berlaku ketika ICC menyiasat kes pembunuhan orang awam di Ukraine dalam tempoh yang cukup cepat hanya selepas lebih sebulan Rusia menceroboh negara tersebut pada bulan Februari lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca