BERTINDAK berani dengan menyamar sebagai kenalan rapat dan kemudian meminta bantuan untuk meminjam sejumlah wang. Itu taktik terkini yang dikesan dilakukan sindiket penipuan dalam talian di negara ini sejak akhir-akhir ini.
Jika dahulu sindiket penipuan dalam talian lebih menyasarkan warga emas atau suri rumah, tetapi kini sesiapa saja boleh menjadi mangsa scammer.
Sindiket penipuan dalam talian menggunakan pelbagai kaedah, antaranya menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat, Facebook serta laman web untuk berhubung dengan mangsa sebelum memperdayakannya.
Terdapat kes yang direkodkan menunjukkan golongan berpelajaran tinggi dan berpangkat besar juga menjadi mangsa sindiket ini. Mereka bagaimanapun bukan sasaran penipuan, sebaliknya akaun media sosial mereka diceroboh dan dijadikan alat untuk aktiviti penipuan.
Bahkan, golongan VIP juga tidak terlepas menjadi mangsa. Misalnya, akaun Telegram seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Sembilan pernah digodam sindiket terbabit dalam kejadian pada Februari lalu.
Arus peredaran zaman dengan kemajuan teknologi terkini menjadikan taktik penipuan kini lebih teratur sehingga mudah memerangkap mangsa.
Sinar Harian bertemu sendiri beberapa mangsa apabila akaun Telegram mereka diceroboh dan ‘dirampas' tanpa disedari oleh sindiket penipuan dalam talian.
Akaun Telegram milik mangsa ini kemudian dikawal pihak lain yang akan menghantar mesej kepada kenalan mangsa itu sendiri dengan tujuan untuk mendapatkan wang.
Seorang ahli perniagaan, Datuk Nasaruddin M Zin yang pernah menjadi mangsa menceritakan, beberapa kenalan rapatnya menerima mesej daripada akaun Telegram miliknya.
Beliau berkata, kandungan mesej Telegram tersebut ialah mahu meminjam sejumlah wang daripada rakannya itu untuk urusan tertentu.
"Saya mendapat panggilan daripada seorang kenalan rapat yang sudah lama tidak berhubung. Rakan ini mendakwa saya ada menghantar mesej kepadanya menerusi Telegram dengan meminta sejumlah wang.
"Saya terus masuk Telegram saya untuk periksa, tapi akaun aplikasi saya menghadapi masalah seperti dikawal oleh orang lain. Saya log keluar dan cuba log masuk semula menggunakan kata laluan biasa. Juga tidak boleh," katanya.
Nasaruddin berkata, pada awalnya dia menyangkakan ia hanya perkara kecil, bagaimanapun dia mulai resah apabila menerima panggilan daripada beberapa rakan lain yang mendakwa turut menerima mesej sama.
"Saya terus membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut,” ujarnya.
Turut menjadi mangsa, seorang individu bergelar Datuk Seri yang enggan namanya disiarkan.
"Ayat yang digunakan sindiket tersebut hampir sama. Pesanan dihantar kepada hampir kesemua nombor telefon kenalan saya. Antaranya mahu meminjam wang mencecah RM3,000,” katanya.
Menurutnya, pesanan tersebut juga dilakukan dalam masa singkat apabila dalam masa beberapa minit sahaja, hampir kesemua rakannya menerima pesanan tersebut.
"Amat menghairankan, bagaimana godaman ini boleh berlaku dan cara apa sindiket ini menggunakannya,” soalnya.
Beliau sehubungan itu berharap kes berkenaan disiasat pihak berkuasa sehingga tertangkapnya dalam sindiket terlibat.
ENGGAN LAPOR POLIS
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang, Datuk BK Tan menasihatkan pemilik akaun Telegram atau WhatsApp yang digodam supaya segera tampil membuat laporan polis.
Beliau berkata, terdapat sebahagian individu yang enggan membuat laporan polis kerana malu akaun media sosialnya digodam.
"Perlu diingat, apabila Telegram kita telah digodam, bermakna sindiket mempunyai akses untuk menghantar pesanan kepada kenalan.
"Paling membimbangkan, ada antara kenalan yang terus percaya tanpa memeriksa terlebih dahulu, lalu memasukkan wang ke akaun bank yang diberikan sindiket.
"Jangan anggap isu ini kecil. Laporlah kepada polis untuk memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, walaupun jenis penipuan berkenaan berbeza-beza tetapi asas modus operandinya adalah sama.
"Sindiket menggunakan pelbagai kaedah menggunakan medium sosial untuk menawarkan, berhubung dan memperdayakan mangsa. Ia bagi mengelakkan perjumpaan secara bersemuka di antara scammer dengan mangsa,” jelas beliau.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga Mac lalu, terdapat 966 kes jenayah penipuan seumpama itu dilaporkan di Selangor.
"Daripada jumlah ini, sebanyak 731 kes merupakan kes penipuan melibatkan secara dalam talian berbanding dengan 235 jumlah kes penipuan secara bersemuka,” ujarnya.
Menurutnya, kes penipuan dalam talian mencatatkan kira-kira 75.67 peratus.
"Kerugian mangsa bagi kes penipuan dalam talian sahaja ialah kira-kira RM36 juta. Ini menunjukkan kes penipuan dalam talian telah sampai ke peringkat yang amat membimbangkan.
"Jika tidak dibenteras, dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada ketenteraman awam, masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.
TIDAK SEDAR JADI MANGSA
Ahli politik, orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan juga tidak terkecuali menjadi sasaran sindiket penipuan yang menggodam aplikasi Telegram atau WhatsApp.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 1,710 laporan diterima pihaknya membabitkan kegiatan itu melibatkan kerugian RM11.47 juta sejak tahun 2020 sehingga Februari lalu.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 823 kes dilaporkan berlaku pada tahun 2020 dengan kerugian RM6.19 juta. Ia diikuti pada 2021 iaitu 778 kes dengan nilai penipuan RM4.8 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 109 kes dilaporkan dengan nilai kerugian sebanyak RM478,016 pada tahun ini.
"Kebanyakan mangsa tidak menyedari akaun mereka digodam sehingga kenalan di dalam senarai telefon bimbit mereka memaklumkan ada menerima mesej untuk meminjam wang,” katanya.
Beliau sehubungan itu menasihatkan pengguna telefon pintar agar lebih peka dan berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang meminta kata laluan untuk aplikasi berkenaan.
"Kata laluan itu digunakan untuk mengambil alih akaun aplikasi pesanan daripada mangsa, seterusnya akan menggunakan modus operandi menyamar sebagai individu berkenaan untuk memperdaya rakannya.
"Orang ramai juga dinasihatkan mengaktifkan dua langkah pengesahan di aplikasi yang digunakan bagi mengelak aplikasi pesanan digodam sindiket,” katanya.
INFO
Kes berkaitan penggodaman Telegram
28 Februari 2022
Telegram Exco Negeri Sembilan digodam
SEREMBAN - Akaun Telegram milik Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan digodam.
Veerapan berkata, perkara itu disedari selepas isterinya menerima mesej menerusi aplikasi tersebut mengatakan beliau mahu meminjam wang.
"Saya juga terima banyak panggilan daripada rakan-rakan terdekat yang bertanya sama ada betul atau tidak saya mahu meminjam wang.
"Saya terkejut kerana mereka mendakwa saya ada menghantar mesej melalui Telegram mengatakan mahu meminjam wang dengan menggunakan nombor telefon, nama dan profil gambar saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
4 Mac 2022
97 laporan akaun Telegram digodam
SEREMBAN – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, dalam tempoh September 2021 hingga bulan lalu, sebanyak 97 laporan polis telah diterima daripada individu yang akaun telegram mereka telah digodam.
"Siasatan mendapati, mangsa sebelum itu akan menerima mesej daripada kenalan di Facebook yang meminta menekan link akaun Telegram diberikan.
"Mangsa kemudian diminta untuk log masuk ke link tersebut namun menyedari akaun Telegramnya telah digodam apabila menerima pertanyaan daripada beberapa kenalan sama ada mangsa mahu meminjam wang," katanya dalam satu kenyataan.
1 Mac 2022
549 kes penipuan di Selangor babitkan kerugian RM33.7 juta
SHAH ALAM - Sebanyak 549 kes berkaitan penipuan dengan kerugian sebanyak RM33.7 juta direkodkan di Selangor sejak Januari hingga Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor membuka sebanyak 405 kertas siasatan kes jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber manakala 144 kes adalah bagi jenayah bukan dalam talian.
"Kes-kes jenayah dalam talian dan jenayah siber ini menyumbang sebanyak 73.8 peratus dari jumlah keseluruhan kertas siasatan jenayah komersial yang dibuka," katanya dalam kenyataan.
Klik di sini untuk terus membaca