LAZIMNYA perbincangan tentang Raja Berperlembagaan dalam konteks demokrasi berparlimen cenderung dicirikan menerusi konsep Westminster negara Barat. Hal itu sebenarnya kurang tepat kerana Raja Berperlembagaan dipraktikkan pelbagai negara dan tidak ada satu pun yang sama secara tepat dalam bentuk dan amalan mengikut konsep tersebut.
Secara umum, persamaan ketara dalam sistem Raja Berperlembagaan ialah adanya monarki (raja) dalam pemerintahan yang kuasa dan autoritinya dihadkan menerusi perlembagaan sama ada secara bertulis atau tidak bertulis. Dari perspektif falsafah, konsep Raja Berperlembagaan adalah luas dan pelbagai.
Yang jarang disentuh ketika membincangkan kuasa dan autoriti terhad itu ialah bagaimana falsafah Raja Berperlembagaan sebenarnya melangkau jauh daripada kerangka politik perlembagaan. Dilihat, aspek nilai, tradisi, agama dan norma budaya masyarakat setempat juga menyumbang dalam pengembangan hal tersebut.
Sebagai contoh, bagaimana aspek kesamaan raja sebagai simbol autoriti awam dalam konteks politik perlembagaan itu juga kadang-kadang berbeza amalannya. Misalnya, aspek agama dan kerohanian serta peranan simbolik dan tradisi. Lazimnya ia dibentuk mengikut kondisi sosiobudaya masyarakat sesebuah negara dan sering membawa keabsahan yang meluas.
Jadi walaupun umumnya Raja Berperlembagaan tidak mentadbir negara secara langung tetapi sangat penting dalam mengesahkan dan memperkukuhkan perjalanan pemerintahan dalam konteks demokrasi berparlimen itu sendiri. Walaupun keterbatasan kuasa dan autoriti raja disebabkan perlembagaan, perlembagaan itu jugalah yang memaktubkan kuasa dan peranan penting baginda dalam menghidupkan fungsi demokrasi berparlimen.
Malah, dalam beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang krisis politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jelas bagaimana di sebalik segala kekalutan, kestabilan dan keselamatan negara masih berada di tahap baik kerana adanya institusi beraja yang berjaya memainkan peranannya mengikut lunas-lunas perlembagaan.
Secara tidak langsung, ia mempertunjukkan satu lagi peranan unggul raja sebagai penjaga perlembagaan seperti yang termaktub.
Perbincangan secara menyeluruh dan ilmiah tentang perkara tersebut mungkin lebih sesuai diulas oleh mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang dan perlembagaan.
Namun secara umum, kepentingan raja dalam perjalanan politik sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen jauh dari sekadar menjadi simbol dan bersifat keraian (ceremonial) sahaja.
Benar perlembagaan menghalang peranan aktif langsung raja dalam pentadbiran, sesuai dengan semangat Raja Berperlembagaan dalam konteks demokrasi berparlimen. Namun begitu terbukti kalau demokrasi dan politik negara gagal memainkan peranannya dan terganggu perjalanannya, campur tangan langsung raja menjadi jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
Hal itu berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah di Thailand. Lihat bagaimana peranan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej dalam lima kudeta bermula ketika era Plaek Phinbunsongkhram tahun 1957 sehinggalah era Yingluck Shinawatra tahun 2014.
Meskipun konsep Raja Berperlembagaan secara umumnya disepakati dengan konsep tunggal, hakikatnya ia bukanlah statik dan beku. Peranan raja dalam kerangka berperlembagaan dan demokrasi berparlimen sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.
Malah, ia adalah sebuah enjin yang menggerakkan kesemua komponen sosiopolitik dan membolehkan institusi-institusi demokrasi negara berfungsi dengan lancar dan selamat.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM
Klik di sini untuk terus membaca