SAYA percaya ramai yang berpengalaman berurusan dengan mereka yang cerewet, tidak bertolak ansur, panas baran, tidak rasional dan hanya mencari salah kita sahaja.
Jika golongan itu bekerja dalam organisasi dan institusi, sudah tentu perangai buruk mereka secara langsung akan terpalit kepada tempat mereka bekerja. Untuk jangka masa panjang, nila setitik akan merosakkan susu sebelanga. Hakikatnya, sikap sedemikian adalah manifestasi diri mereka yang kurangnya sifat kasih dan sayang dalam diri.
Sebetulnya, kita lahir ke dunia hari ini kerana sifat Al-Rahman atau kasih sayang daripada ALLAH SWT. Perasaan kasih dan sayang yang ada dalam diri kita adalah fitrah daripada ALLAH SWT dan merupakan manifestasi sifat kasih ALLAH SWT.
Justeru, sifat mawaddah (cinta) dan rahmat (kasih) terbentuk dalam diri kita sejak dilahirkan lagi. Jika tiadanya sifat kasih dan sayang, sudah tentu kita tidak akan dibesarkan dengan sempurna oleh ibu bapa. Selain itu, kita tidak akan memperoleh ilmu berguna tanpa kasih sayang guru-guru yang mendidik kita selama ini.
Jika kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk suburkan sifat rahmat dalam diri, sudah tentu jiwa kita akan berkonflik sepanjang masa kerana bertentangan dengan fitrah ALLAH SWT.
Saya begitu tertarik dengan nukilan syair oleh Sufi Jalaludin al-Rumi yang dipetik menerusi buku Kemanisan Iman oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi.
Nukilan syair beliau seperti berikut: "Sesungguhnya kasih sayang mengubah pahit menjadi manis, tanah menjadi emas, keruh menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi taman, azab menjadi nikmat, paksaan menjadi belas. Kasih sayang akan melembutkan besi dan mencairkan batu.”
Menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi, kasih sayang tidak akan terpancar daripada hati sekiranya tidak membersihkan diri daripada penyakit hasad dengki. Jika hati dibersihkan, cahaya iman yang terbina di dalam hati akan mengusir kegelapan hasad dengki daripada hatinya.
Berkaitan sifat hasad dengki, ALLAH SWT berfirman: "Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata, wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmatmu.” (Surah al-Hasyr, 59:10).
Kesan daripada hasad dengki berpanjangan, silaturahim sesama insan juga boleh terputus. Daripada Aisyah RA isteri Nabi SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Al-Rahim (silaturahim) adalah syiznah (daun pohon yang rendang) barang siapa menyambungnya, maka aku akan menyambungnya dan barang siapa memutuskannya maka aku pun akan memutuskannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Apa yang ditakuti, sifat ego, angkuh dan sombong yang menular dalam diri menyebabkan hati kita semakin keras untuk memaafkan dan meminta maaf daripada orang lain.
Ingatlah, sekiranya kita berjiwa besar dan boleh memaafkan semua kesalahan orang lain tanpa syarat, sesungguhnya ALLAH SWT akan menambahkan kemuliaan dan meninggikan darjat kita semua.
Berkaitan hal itu, Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah tidak akan mengurangi harta. ALLAH pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada ALLAH kecuali ALLAH mengangkat darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Pada hemat saya, bulan Ramadan yang masih berbaki 16 hari dan tidak lama lagi akan berada pada fasa 10 akhir Ramadan, gunalah sebaik mungkin institusi Ramadan untuk mentarbiahkan jiwa dan akal agar terpancar sifat rahmat dalam diri sehingga dijemput Ilahi.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca