MEMANG patutnya kita tanya seperti pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkenaan sejauh mana privasi kita dilindungi dalam menggunakan My Sejahtera.
Saya berpendapat, kita tidak semestinya tertumpu kepada aplikasi MySejahtera sahaja. Mungkin aplikasi lain atau melalui pihak lain, data peribadi kita agaknya tidaklah selamat. Mungkin juga ada pihak yang tidak bertanggungjawab berkongsi data kita dengan pihak yang lain pula.
Kita mungkin pernah menerima pelbagai jenis mesej yang masuk ke telefon bimbit. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka mendapat nombor telefon saya.
Yang pelik, ada antara mereka mengetahui alamat rumah dan nombor kad pengenalan kita. Mereka juga entah bagaimana tahu pula ada antara kita sedang sesak tidak cukup duit, ditawarkan pelbagai pinjaman. Ada juga yang pos bermacam tawaran dan cabutan bertuah ke alamat rumah kita bertujuan memberi peluang kita menjadi kaya-raya katanya.
Saya pernah menerima panggilan telefon skim pelaburan dan insurans. Saya juga pernah berkongsi di dalam ruangan ini mengenai seorang pemuda yang menelefon untuk memberitahu skim pelaburan yang menguntungkan.
Katanya, jika saya membeli saham sekian-sekian, saya akan dapat pulangan lebih tinggi daripada menyimpan di dalam bank untuk simpanan tetap atau Tabung Haji atau Amanah Saham.
Saya tidak membeli saham tersebut. Saya bukannya ada duit untuk bermain saham. Lagipun saya tidaklah kisah untuk menjadi kaya walaupun tidak ‘hensem’. Saya ada bertanya kepada pemuda itu, kenapa dia sendiri tidak membeli saham itu kalau sudah terjamin akan dapat untung.Atau mungkin dia boleh berkongsi peluang itu kepada saudara-mara sendiri. Buat apa hendak berkongsi dengan orang asing seperti saya, hanya kerana hendak mendapat komisen pelaburan.
Selain itu, saya juga pernah mendapat panggilan ejen insurans, yang pemanggilnya mengetahui nama penuh dan nombor kad pengenalan saya. Apabila ditanya dari mana mendapat nombor telefon saya, dijawabnya: "Oh Encik Faisal ada akaun dengan bank sekian-sekian kan?”
Mungkin bank ada berkongsi butiran diri saya dengan syarikat insurans tersebut. Mungkin juga insurans itu adalah produk bank itu sendiri. Tetapi yang sangat menyakitkan hati apabila hendak menjual insurans, cukup hanya dengan kita menjawab ya atau tidak sahaja untuk bersetuju, serta-merta diaktifkannya.
Kalau hendak membuat tuntutan, terpaksa menghadapi pelbagai kerenah birokrasi. Kena isi borang itu ini, hantar ke sana-sini, kemudian terpaksa pula menunggu beberapa hari lagi. Itu pun jika borang lengkap.
Baru-baru ini saya menerima mesej daripada pelbagai pihak yang menawarkan tempat belajar untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. Anak saya salah seorang yang menduduki peperiksaan tersebut.
Tawaran belajar ada bermacam-macam. Ada juga panggilan untuk tawaran Diploma in Aviation dengan tawaran dermasiswa berjumlah RM12.5 juta.
Selain itu saya juga mendapat mesej melalui WhatsApp, katanya tawaran belajar di UNIKOP untuk anak saya itu. Dan banyak lagi mesej serta panggilan misteri yang saya terima.
Saya ada bertanya isteri: "Awak ada terima mesej seperti saya?”
Jawabnya, ada juga.
Cuma yang menjadi pertanyaan, mesej itu dihantar lengkap dengan nama anak dan nombor kad pengenalan. Mereka tahu anak saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan?
Begitu juga panggilan melalui telefon terutama daripada ejen-ejen kutipan hutang. Mereka menyebut nama dan nombor kad pengenalan. Katanya mereka mendapat butiran diri melalui bank.
Saya kadang-kadang tidak menjawab panggilan itu kerana risau, mana tahu yang menelefon itu scammer.
Seperti mana risaunya Nurul Izzah, begitu juga saya. Maka kerisauan kami berdua bersama rakyat jelata adalah berasas. Adakah cukup dengan kenyataan kerajaan yang mengatakan data peribadi kita selamat? Sedangkan setiap hari kita menerima panggilan daripada orang tidak dikenali yang entah bagaimana tahu maklumat peribadi kita.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca