KECEMERLANGAN merupakan satu perjalanan dan bukannya destinasi. Inilah konsep yang saya amalkan sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Mac 2020. Pada ketika itu juga, Covid-19 mula menjejaskan ekonomi negara dan kesihatan awam.... Klik di sini untuk terus membaca

KECEMERLANGAN merupakan satu perjalanan dan bukannya destinasi. Inilah konsep yang saya amalkan sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Mac 2020. Pada ketika itu juga, Covid-19 mula menjejaskan ekonomi negara dan kesihatan awam.

Sepanjang dua tahun yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan berjumlah RM530 bilion, dengan majoritinya merupakan langkah jangka pendek dan sederhana.

Pada masa sama, saya juga telah membincangkan reformasi jangka panjang dengan rakan sekerja di Kementerian Kewangan (MOF) kerana Covid-19 ini telah mengetengahkan beberapa isu struktur dalam ekonomi kita.

Untuk mencapai matlamat ini, saya sentiasa meminta rakan sekerja di MOF untuk menggunakan konsep ‘pemikiran sistem’ atau systems thinking dengan pendekatan analitik yang holistik.

Konsep ini memberi tumpuan kepada bagaimana setiap bahagian dalam sesebuah ekosistem ini saling berkait rapat dan melengkapi, serta bagaimana sistem ini berfungsi dalam konteks ekonomi tempatan atau global.

Saya percaya bahawa sebuah ekosistem yang dibina dengan baik berpotensi mengelak atau menyelesaikan pelbagai isu atau masalah dengan mudah.

Sebab itulah, sejak lebih setahun yang lalu, visi penyusunan semula ekonomi telah kami gandingkan dengan pengemaskinian peranan, fungsi dan keupayaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini amat penting kerana walaupun kerajaan melancarkan Program Transformasi GLC selama 10 tahun pada tahun 2005 untuk menambah baik prestasi GLIC dan GLC, banyak kemajuan yang dirancang dalam pelbagai bidang telah tergendala akibat Covid-19 dalam tempoh dua tahun lalu.

Tengku Zafrul

Sebelum saya berkongsi usaha penyusunan semula GLIC dan GLC oleh MOF, adalah penting untuk kita menyingkap kembali latar belakang penubuhan dan peranan mereka dalam pembangunan negara Malaysia.

Bermula dari kuasa elektrik yang menyinari kediaman kita, bahan api yang menggerakkan kenderaan, bekalan air bersih bagi pelaksanaan ibadah dan rutin harian, rezeki dari beras yang ditanak menjadi nasi dan lebuh raya yang berperanan sebagai penghubung penting merentas sempadan-sempadan negeri.

Selain itu, dana yang menjamin kesejahteraan hari tua, sehingga ke bank yang memudah cara transaksi kewangan, perkhidmatan daripada pelbagai GLIC dan GLC amat meluas dalam kehidupan harian sehingga kita kadangkala terlupa akan betapa pentingnya peranan mereka dalam melancarkan rutin kita saban hari.

Dasar kerajaan memperkasakan GLIC dan GLC telah memberi keupayaan untuk mereka melebarkan sayap ke seluruh dunia.

Contohnya, Petronas bukan sahaja berperanan penting membangunkan sosioekonomi negara sejak penubuhannya pada tahun 1974, malah ia juga telah berkembang menjadi sebuah syarikat Fortune 500 dengan operasi global.

Contoh GLIC dan GLC lain ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diasaskan pada tahun 1951 untuk menguruskan dana persaraan ahli dan kini merupakan salah satu dana persaraan terbesar di dunia.

Pelbagai GLIC dan GLC juga telah memainkan peranan penting dalam membolehkan PKS dan perniagaan-perniagaan dalam pelbagai sektor dan industri untuk berkembang maju, terutamanya melalui ekosistem dan program vendor masing-masing.

Contohnya, pembangunan Wilayah Iskandar oleh Khazanah Nasional memanfaatkan banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor hartanah.

Syarikat korporat seperti Axiata, Maybank, CIMB dan Kumpulan UMW juga telah berjaya mengembangkan sayap perniagaan mereka ke rantau ASEAN, dan secara langsung telah memanfaatkan banyak syarikat lain.

PELABURAN STRATEGIK

Malah, jika agensi yang disokong kerajaan tidak membina infrastruktur strategik seperti lebuh raya, pengangkutan awam atau rangkaian 5G, sektor swasta tidak mungkin melabur dalam projek-projek tersebut.

Pendek kata, sejak beberapa dekad, kerajaan telah banyak membuat pelaburan strategik di dalam GLIC dan GLC untuk mencapai matlamat dasar-dasar yang digariskan di dalam pelbagai Rancangan-Rancangan Malaysia.

Apa yang amat jelas, GLC juga merupakan ejen pelaksana dasar yang penting untuk membantu Malaysia pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam yang paling serius dihadapi oleh Malaysia.

Tempoh satu setengah tahun yang lalu telah dimanfaatkan oleh MOF untuk menyusun semula dan menjelaskan lagi mandat GLIC dan GLC bagi menambahbaik keupayaan mereka untuk membantu kerajaan memulihkan ekonomi yang teruk dihentam badai pandemik ini.

Di antara inisiatif yang diperkenalkan adalah pertumbuhan ekosistem baharu, strategi pemulihan aset dan piawaian pelaburan mampan.

Usaha ini dijangka mengambil tempoh lima tahun, dan kita telah giat dalam inisiatif penyusunan semula selama lebih setahun.

Sebagai contoh, pelbagai KPI telah ditetapkan untuk memastikan GLIC dan GLC yang berorientasikan keuntungan tidak hanya berfikir untuk meraih keuntungan, tetapi juga mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk melaksanakan prinsip-prinsip amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), diganding dengan strategi untuk memacu fokus dan pelaburan dalam sektor-sektor pertumbuhan masa hadapan.

Pendekatan berdasarkan konsep pemikiran sistem ini juga merupakan prinsip asas bagi perluasan skop GLIC dan GLC Disaster Relief Network (GDRN) yang telah dilancarkan semula oleh Perdana Menteri pada Mac lalu dengan nama baharunya - GLC Demi Rakyat dan Negara.

Di samping bantuan bencana, skop GDRN yang diperluaskan ini juga telah diselaraskan lebih baik dengan sumbangan impak sosial sedia ada GLC dan GLIC dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, kehidupan mampan dan kesejahteraan (termasuk alam sekitar), serta bantuan kemanusiaan.

Pada masa sama, ia juga bertujuan menambahbaik proses pemantauan dan pencapaian inisiatif tanggungjawab sosial korporat GLIC dan GLC.

Pada 15 April, MOF juga telah melancarkan Prinsip Tadbir Urus Baik (PGG) yang bertujuan menjadi panduan kepada GLIC dan GLC dalam tiga prinsip utama melibatkan Lembaga Pengarah - Kepimpinan dan Keberkesanan Lembaga Pengarah, Pengukuhan Komposisi Lembaga Pengarah serta Menggalakkan Keberkesanan dan Ketelusan Pelaburan.

Di antara matlamat di bawah prinsip utama tersebut adalah perkara-perkara berkaitan ESG seperti memastikan lebih ramai wanita dalam barisan lembaga pengarah, mengguna pakai kriteria yang betul dan melantik pengarah berdasarkan kebolehan, serta memastikan pembangunan profesional mereka untuk prestasi korporat yang optimum.

Salah satu sasaran utama ialah untuk memastikan operasi GLIC dan GLC menjadi lebih teguh agar mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih berkesan dan bermakna, serta membantu Malaysia mengukuhkan daya tahannya untuk menghadapi sebarang kejutan atau ancaman wabak yang lain pada masa hadapan.

Matlamat ini tidak mungkin dicapai jika kita tidak mengubah cara kita menangani isu-isu struktur. Sebaliknya, dengan memastikan seluruh ekosistem dilihat secara holistik, kesemua GLIC dan GLC dapat melihat dengan jelas bagaimana sumbangan mereka menyokong agenda pembinaan negara secara keseluruhan.

Melangkah ke hadapan, saya yakin dengan sokongan semua pihak berkepentingan, kita akan dapat meneruskan penyusunan semula yang lebih menyeluruh bagi menjadikan GLIC dan GLC sebagai pemangkin kepada pemulihan Malaysia, serta membuka jalan untuk negara kita mencapai tahap pembangunan lestari, insya-ALLAH.

* Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan

Klik di sini untuk terus membaca