BATU PAHAT - Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail mendedahkan beliau pernah ditawarkan jutaan ringgit oleh pihak tertentu untuk melompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu menegaskan beliau masih kekal untuk bersama PKR atas dasar politik nilai dan perjuangan rakyat yang dipegangnya selama ini dan bukan sekadar bersandarkan perjuangan poket sendiri, keluarga dan kepentingan peribadi.
Jelasnya, atas faktor itu, komitmen ahli-ahli PKR untuk memastikan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti benar-benar berkesan kelak mesti bermula dengan pemilihan pemimpin parti berintegriti dan beramanah terlebih dahulu.
"Tanggungjawab ahli-ahli PKR untuk memilih kepimpinan parti mesti bermula dengan keputusan memilih mereka yang betul-betul berintegriti dan beramanah, biar apa pun kesusahan berlaku terhadap parti kelak.
"Sekalipun kita menang PRU15, pemimpin-pemimpin parti yang diamanahkan menjadi wakil rakyat harus tetap berprinsip dan tidak teruja untuk melompat parti macam katak sekiranya ditawarkan peluang.
"Saya sendiri pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk melompat parti, namun dasar kita yang memegang politik nilai dan perjuangan rakyat menyebabkan kesetiaan terhadap PKR masih utuh.
"Jadi nasihat saya, gunakan masa ini untuk anda memilih pemimpin parti sebagai permulaan betul, perlu memilih pemimpin parti betul sebelum kita kenal pasti mereka menjadi calon terbaik untuk parti bagi menghadapi PRU15," katanya melalui kempen Jelajah Yakini Rakyat di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Turut hadir adalah calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; calon Naib Presiden PKR, G Manivannan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Chang Lih Kang; calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
KETUA SAYAP SETARAF NAIB PRESIDEN
Dalam perkembangan lain, Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Selangor juga menggesa PKR menunjukkan kesungguhan politik bagi mengangkat darjat penglibatan pemimpin muda wanita yang selesa bersama Srikandi PKR agar setaraf dengan sayap-sayap lain seperti Wanita dan AMK.
Dengan PKR tidak boleh lagi berperanan mentadbir parti secara pecah dan perintah, beliau melihat golongan pemimpin wanita muda perlu diberi peranan baik dan tempat yang betul supaya mereka dapat mengembangkan prestasi dan potensi diri demi kebaikan parti.
Berikutan itu, beliau berjanji akan mencadangkan darjat jawatan Ketua Srikandi PKR diletakkan setaraf dengan jawatan Naib Ketua Wanita PKR supaya lebih ramai kepimpinan muda wanita dilibatkan dalam Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
"Kita perlu membuat perubahan sedikit dalam struktur organisasi kepimpinan parti sedia ada di mana hanya kedudukan jawatan Ketua Srikandi sahaja yang dimasukkan sebagai anggota Jawatankuasa MPP berbanding kuota sayap-sayap lain yang lebih ramai dilibatkan.
"Kita mesti ada political will untuk mengangkat wanita muda yang selesa bersama sayap Srikandi dan Wanita supaya lebih ramai dilibatkan dalam pucuk kepimpinan parti.
"Oleh itu, saya hendak mencadangkan jawatan Ketua Srikandi PKR perlu diangkat darjatnya agar setaraf dengan Naib Ketua Wanita PKR," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca