KUASA Presiden dan Perdana Menteri Sri Lanka dari keluarga Rajapaksa kini di hujung tanduk selepas kemarahan rakyat semakin meningkat berikutan keadaan ekonomi negara berkenaan semakin hancur sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.
Kemarahan penduduk awam itu semakin meluap-luap bagi memprotes pemerintahan keluarga Rajapaksa selepas krisis ekonomi negara yang menyaksikan Sri Lanka menangguhkan pembayaran hutang luar negaranya yang berjumlah AS$51 bilion (RM215.81 bilion), ketiadaan bekalan elektrik selama berminggu-minggu, masalah kekurangan makanan, minyak dan ubat-ubatan di negara itu.
Pada bulan lalu, ratusan penunjuk perasaan yang dikumpulkan oleh aktivis media sosial yang tidak dikenali cuba menyerbu kediaman Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bagi menuntut pengunduran dirinya sehingga pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air dengan sekurang-kurangnya seorang lelaki cedera parah.
Ibu negara itu, Colombo kemudian terpaksa diletakkan di bawah perintah berkurung.
Penunjuk perasaan mula mengadakan protes bagi meminta Gotabaya dipecat daripada jawatan Presiden dengan pakar ekonomi menyatakan krisis Sri Lanka berlaku disebabkan oleh salah urus pihak pemerintahan dan pemotongan cukai yang tidak disarankan.
Kekurangan pertukaran mata wang asing juga memaksa pemerintah untuk mengumumkan penutupan tiga misi diplomatiknya di Norway, Iraq dan Australia manakala tiga yang lain di Nigeria, Jerman dan Cyprus telah ditutup pada Januari lalu.
KRISIS MEREBAK
Krisis di Sri Lanka menjadi buruk sejak pandemik Covid-19 mula merebak secara meluas pada tahun 2020 di seluruh dunia sehingga menjejaskan industri pelancongan dan pengiriman wang daripada penduduknya yang bekerja di luar negara sebelum merebak ke sektor-sektor ekonomi yang lain.
Keluarga daripada keturunan Rajapaksa telah menguasai politik negara itu selama beberapa dekad dengan ada sebahagiannya pernah menjadi anggota kabinet.
Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa kembali berkuasa pada tahun 2019 ketika adiknya Gotabaya terpilih menjadi Presiden.
Mahinda yang kini berusia 76 tahun sebelum ini pernah memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2004 dan kemudian menjadi Presiden dari tahun 2005 hingga 2015 namun adiknya Gotabaya yang merupakan Presiden Sri Lanka telah melantiknya memegang jawatan tersebut buat kali ketiga pada tahun lalu.
Beliau dipuja oleh majoriti Sinhala-Buddha kerana berjaya menghancurkan para pemberontak Tamil pada Mei 2009 berikutan serangan-serangan kejam daripada kumpulan tersebut sehingga menyebabkan kira-kira 40,000 orang awam terbunuh sekali gus mengakhiri perang saudara yang berlaku di negara berkenaan selama beberapa dekad.
Semasa pemerintahannya, Sri Lanka pernah meminjam hampir AS$7 bilion (RM71.94 bilion) untuk projek-projek infrastruktur dari China namun kebanyakannya berubah menjadi gajah putih dan akhirnya terperangkap dalam rasuah.
Gotabaya yang kini berusia 72 tahun adalah 'orang kanan' Mahinda semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan pernah memegang jawatan setiausaha yang berpengaruh kepada Kementerian Pertahanan dengan kawalan terhadap angkatan bersenjata dan polis sebelum menjadi Presiden.
Beliau digelar sebagai The Terminator oleh keluarganya sendiri dan ditakuti oleh musuh kerana perangainya.
Basil Rajapaksa yang kini berusia 71 tahun adalah ahli strategi politik yang pernah menguruskan ekonomi dan beliau berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah Mahinda sebelum meletakkan jawatan baru-baru ini ekoran krisis ekonomi terburuk yang dialami negara berkenaan.
MR 10 PERCENT
Beliau yang juga adik kepada Mahinda dan Gotabaya digelar sebagai 'Mr Ten Percen' atau 'Encik Sepuluh Peratus' dalam wawancara dengan stesen penyiaran BBC kerana pernah dituduh mengambil komisen daripada kontrak pemerintah.
Anak sulung Mahindra, Namal Rajapaksa yang berusia 35 tahun dan merupakan seorang peguam yang dikatakan dilatih untuk menjadi Presiden Sri Lanka, sudah bergelar ahli Parlimen pada tahun 2010 ketika berusia 24 tahun tetapi telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Bagaimanapun, kini Sri Lanka berada dalam keadaan krisis yang tidak pernah terjadi sejak kemerdekaan sehinggakan parti Gotabaya terpaksa menjadi Presiden walaupun parti perikatannya telah kehilangan majoriti di Parlimen.
Berikutan krisis ekonomi tersebut, AFP melaporkan hampir kesemua anggota kabinet telah meletakkan jawatan pada awal bulan ini.
Masalah di Sri Lanka semakin mendalam apabila Ali Sabry mengundurkan diri hanya sehari setelah dilantik menjadi Menteri Kewangan bagi menggantikan Basil.
Penyelesaian keadaan di Sri Lanka bagi membentuk kerajaan perpaduan juga tidak dapat dicapai selepas parti-parti pembangkang menolak tawaran Mahinda. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca