BATU PAHAT - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berikrar akan memperjuangkan keperluan mewajibkan setiap calon parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menandatangani perjanjian anti lompat parti sebagaimana dilaksanakan PKR sebelum PRU14.
Katanya, perkara itu akan ditekan beliau sama ada menang atau tidak pada pemilihan parti bulan hadapan.
Jelas beliau, sewaktu menghadapi PRU14, ramai calon pilihan raya dipilih parti langsung tidak menandatangani perjanjian elak lompat parti disebabkan kedudukan kartel diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguasai parti menyebabkan perkara ini tidak dititikberatkan.
Berikutan itu, beliau menegaskan tanggungjawab mengelakkan masalah wakil rakyat lompat parti berlaku di negara ini tidak sekadar terletak pada keperluan pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada kesedaran anggota parti itu sendiri terutama menjelang pemilihan PKR.
"Sewaktu PRU14, ramai calon PKR yang langsung tidak menandatangani perjanjian elak lompat parti. Itu sebabnya hanya beberapa orang sahaja disaman parti sebab 'melompat' termasuk (Ahli Parlimen Ampang) Zuraida Kamaruddin.
"Sebab itu, saya mahu tekankan tanggungjawab mengelakkan senario sebegitu kembali berlaku dalam PKR dan parti-parti lain bukan sekadar pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, tetapi perlu digalas anggota parti bagi memilih pemimpin yang ikhlas.
"Tidak kira saya menang atau kalah (pemilihan PKR), setiap calon PRU dipilih PKR mesti menunjukkan bukti mereka menandatangani perjanjian anti lompat parti disediakan parti. Kalau perkara ini dijadikan keutamaan, soal lompat parti dalam PKR akan berkurangan.
"Sebab itu kita kena tengok dalam kalangan calon bertanding pemilihan kali ini, sekiranya jawatan parti menjadi keutamaan mereka, kita harus lebih berhati-hati memilih mereka kerana golongan ini biasanya merasakan mereka layak mendapatkan tawaran lebih lumayan," ujar Rafizi melalui kempen Jelajah Yakini Rakyat di sebuah hotel di sini.
Turut hadir adalah calon Naib Presiden PKR, G Manivannan dan Chang Lih Kang; calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol; calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Denda RM10 juta
Pada PRU14, PKR telah mengarahkan calon-calon parti itu yang bakal bertanding ketika itu untuk menandatangani bon perjanjian anti lompat parti, di mana mereka harus mengikat diri dengan parti daripada tindakan lompat atau keluar parti.
Menurut parti itu, antara syarat bon dipersetujui calon PKR adalah untuk membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya salah satu perkara antaranya, jika beliau meletak jawatan sebagai anggota parti.
Sehubungan itu, PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Zuraida pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif.
Dalam perkembangan lain, Rafizi berkeyakinan impak pemilihan PKR pada bulan hadapan tidak akan menyebabkan perpecahan parti sebagaimana berlaku pada pemilihan 2018, meskipun ia dilaksanakan sebelum PRU15.
Jelas bekas Ahli Parlimen Pandan itu, keadaan pemilihan penggal 2022-2025 amat berbeza dengan pemilihan parti bagi tahun 2018-2021 dan 2015-2018 di mana setiap langkah atau keputusan parti yang dibuat menerusi Presiden PKR sentiasa akan dihalang dan disabotaj secara 'main belakang' oleh pihak tertentu.
Tambah beliau, gerakan kem yang suka membuat keputusan berbeza di belakang pucuk kepimpinan PKR ini semakin sukar dibendung menjelang pemilihan parti tahun 2018 dan atas faktor itu, beliau terpaksa mengambil keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Mohamed Azmin.
"Saya sudah nampak gerakan 'kartel' sejak saya menjadi Setiausaha Agung PKR pada pemilihan tahun 2015, apabila setiap langkah dibuat parti menerusi Presiden ketika itu (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) akan disabotaj secara main belakang.
"Namun saya tidak menyatakan isu ini secara terbuka disebabkan kedudukan kerajaan UMNO diketuai (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu amat kuat. Namun selepas keputusan pemilihan tahun 2015, makin jelas 'kartel' ini perlu dikawal.
"Sebab itu pada pemilihan tahun 2018, saya kena bertanding jawatan Timbalan Presiden. Ini sebab kalau kita tidak berbuat demikian, Mohamed Azmin berkemungkinan akan melawan jawatan Presiden dan memaksa kita untuk menerima idea dan strategi mereka sekiranya menang.
"Namun pemilihan tahun 2022 lebih tertumpu soal kaedah parti untuk mendepani PRU15. Sebab itu, saya tidak rasa timbul soal perpecahan selepas pemilihan kali ini," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca