SAH sudah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan setakat jam 8 malam pada 14 April, sejumlah 5.3 juta pencarum telah membuat permohonan di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setelah ia dibuka pada 1 April lalu.
Jumlah ini, menurut KWSP, bersamaan dengan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion. Bayangkan jumlah yang bakal dibelanjakan itu. Bukan juta tapi bilion.
Bagi Belalang, ini satu jumlah yang sangat besar. Tidak lama lagi, nilai wang sebanyak itu akan dibelanjakan untuk pelbagai tujuan.
Dan kalau tak silap Belalanglah, apa yang Belalang baca dalam surat khabar, sebahagian besar daripada wang tersebut akan dibelanjakan untuk melangsaikan hutang dan juga membelikan keperluan yang telah rosak dan musnah dilanda banjir besar tempoh hari.
Kepada yang hilang pekerjaan atau hilang perniagaan akibat Covid-19, wang KWSP itu diharap akan dapat dijadikan modal pusingan.
Ramai juga kawan Belalang merungut mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk membaiki kereta yang rosak teruk.
Kawan Belalang, Nell misalnya beritahu dia perlu membelanjakan setidak-tidaknya RM5,000 untuk membaiki keretanya.
Jumlah itu sekadar anggaran sahaja. Belum muktamad lagi. Nell berdoa agar nilai baiki keretanya itu tak akan ‘terbabas’.
Jika terlebih pakai, Nell terpaksa memotong bajet selebihnya yang diperuntukkan untuk membeli perkakas rumah yang turut musnah dilanda banjir.
Macam-macam lagilah yang Belalang dengar. Itu belum diambil kira ansuran bulanan kereta dan rumah.
Sebab itulah kata Nell, mahu tak mahu dia kena juga cari jalan bagaimana nak gerakkan keretanya yang rosak ditenggelami air itu.
"Kereta ni, jalan ke tak jalan ke, ansuran kena bayar juga. Larat ke nak naik grab tiap-tiap hari ke pejabat?” tanya Nell.
Jadi orang macam Nell tak ada banyak pilihan melainkan mengeluarkan wang caruman KWSP untuk membolehkannya menormalkan semula rutin hariannya.
Jika tidak, kehidupannya jadi tak ketahuan. Wang simpanan pun dah habis korek untuk selesaikan pelbagai lagi urusan.
Menurut KWSP, pembayaran akan dibuat secara berperingkat, iaitu pembayaran pertama akan bermula pada 20 April.
KWSP menerangkan bahawa jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini.
Dipecahkan mengikut pengkelasan gaji, ini mewakili 55 peratus ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59 peratus ahli M40 (RM1,701 - RM4,900) dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4, 900). Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon paling tinggi iaitu 65 peratus, diikuti oleh kaum Cina (12 peratus) dan kaum India (7 peratus).
Baki 17 peratus selebihnya adalah terdiri daripada kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukan warganegara.
KWSP juga memaklumkan, tiga sebab utama para pencarum memohon pengeluaran ialah mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus) dan untuk menambah sumber kewangan (14 peratus).
Manakala tujuan pengeluaran pula adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/ bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan/ dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7 peratus) dengan 27 peratus selebihnya adalah untuk tujuan-tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan.
Tarikh tutup untuk kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April.
Belalang - Bersyukur masih boleh bertahan...
Klik di sini untuk terus membaca