PUSINGAN terakhir Pilihan Raya Presiden Perancis akan diadakan pada 24 April depan yang menyaksikan hanya dua calon berjaya bertanding bagi merebut jawatan itu, sekali gus memimpin negara berkenaan bagi tempoh lima tahun. Dalam pusingan... Klik di sini untuk terus membaca

PUSINGAN terakhir Pilihan Raya Presiden Perancis akan diadakan pada 24 April depan yang menyaksikan hanya dua calon berjaya bertanding bagi merebut jawatan itu, sekali gus memimpin negara berkenaan bagi tempoh lima tahun.

Dalam pusingan kedua itu, penyandang jawatan Presiden, Emmanuel Macron daripada Parti La République En Marche! (LREM) akan sekali lagi melawan seorang tokoh politik veteran wanita, Marine Le Pen yang mewakili Parti National Rally atau Penyatuan Kebangsaan.

Pertandingan antara kedua-dua ahli politik itu mengulangi pertembungan mereka buat kali pertama dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden pada tahun 2017 yang menyaksikan Macron, 44, mendapat sebanyak 66.1 peratus undi, sekali gus berjaya mengalahkan Le Pen, 53, apabila beliau hanya memperoleh 33.9 peratus undian.

Bagaimanapun, dalam pusingan pertama Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, Macron mendapat sebanyak 27.85 peratus undi manakala Le Pen pula memperoleh 23.15 peratus undi dan tempat ketiga pula ialah pemimpin politik berhaluan kiri, Jean-Luc Melenchon, 70, dengan 21.95 peratus undi.

Seramai 12 calon bertanding dalam pilihan raya pusingan pertama Presiden termasuk Macron, Le Pen dan Melenchon tetapi sembilan lagi pencabar itu hanya memperoleh peratusan undi terendah termasuk Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, 62, yang hanya memperoleh sebanyak 1.75 peratus undi.

Berdasarkan undang-undang negara itu, jika keputusan pusingan pertama Pilihan Raya Presiden Perancis menunjukkan tidak ada mana-mana calon yang memenangi lebih daripada 50 peratus undi popular, dua calon teratas akan berentap dalam pusingan kedua untuk menentukan pemenang jawatan tersebut.

TIADA PILIHAN LAIN

Namun, dalam pilihan raya pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Perancis itu, adakah pengundi Muslim akan terus memberikan sokongan kepada Macron untuk mengekalkan jawatannya buat penggal kedua?

Dalam pilihan raya pusingan pertama Pilihan Raya Presiden negara itu, majoriti pengundi yang beragama Islam bertindak mengundi Melenchon, menurut kajian sebuah institusi penyelidikan pemasaran dan tinjauan pendapat, Ifop yang dikeluarkan oleh media Perancis.

Menurut kajian itu, sebanyak 69 peratus penduduk Islam yang berhak mengundi telah memilih Melenchon berbanding 11 calon lain.

Bagaimanapun, dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Perancis itu, Melenchon tidak layak bertanding dan pengundi Muslim hanya mempunyai pilihan sama ada mengundi Macron atau Le Pen.

Melenchon yang merupakan bekas anggota parti Socialiste dan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Perancis pada tahun 2012 dan 2017 menjadi pilihan sebahagian besar pengundi Muslim kerana beliau pernah menyeru supaya menghormati masyarakat Islam sebagai satu cara untuk memerangi perpecahan dalam masyarakat Perancis.

Ahli politik itu juga menentang prinsip Islamofobia dan ia sukar untuk ditakrifkan dalam dialog politik Perancis selain pernah menyatakan bahawa di negara ini terdapat kebencian terhadap umat Islam yang menyamar sebagai pengamal sekularisme dan beliau menentangnya.

KONTROVERSI MACRON, LE PEN

Berikutan ketiadaan Melenchon sebagai calon, Macron dan Le Pen pula sukar menjadi pilihan pengundi Islam.

Sebelum ini, Macron menghadapi kontroversi daripada umat Islam dan pemimpin-pemimpin negara Islam mengenai pendirian tegasnya mengenai gerakan percampuran politik dengan Islam yang dianggap berbahaya kepada nilai sekularisme Perancis.

Umat Islam juga pernah mengalami gangguan politik selama lima tahun di bawah pemerintahan Macron.

Macron tidak akan mengharamkan pakaian keagamaan tetapi beliau telah mengawasi penutupan banyak masjid, sekolah dan kumpulan Islam dengan bantuan daripada pasukan khas untuk menghapuskan tempat yang disyaki dan dituduh sebagai tempat ‘pembiakan’ radikalisme Islam.

Le Pen pula terkenal dengan kempennya untuk mendenda wanita yang memakai penutup kepala di tempat-tempat awam jika terpilih menjadi Presiden.

Beliau pernah berkata bahawa bahawa memakai tudung di khalayak ramai di Perancis harus menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda yang dikeluarkan oleh polis sama seperti pelanggaran lalu lintas oleh orang awam.

Namun, Macron juga telah menunjukkan dirinya sebagai pembela kebebasan beragama dengan menegaskan bahawa sebarang larangan terhadap pemakaian tudung akan bermakna semua tanda-tanda agama lain perlu diharamkan.

UNDI MUSLIM PENTING

Terdapat kira-kira lima juta penduduk Islam Perancis yang dianggarkan membentuk hampir sembilan peratus daripada populasi penduduk di negara berkenaan.

Sehubungan itu, undian daripada pengundi Muslim amat penting dalam Pilihan Raya Presiden Perancis.

Bekas anggota parti Socialiste, Jean-Luc Melenchon mendapat banyak undi daripada pengundi Muslim.

Sebelum ini, sudah ada larangan pemakaian tudung dilaksanakan di Perancis ke atas penduduk Muslim pada tahun 2004 di dalam bilik darjah sekolah dan larangan pada tahun 2010 terhadap pemakaian niqab yang menutup muka di jalanan.

Le Pen juga dilaporkan mahu mengharamkan penyembelihan haiwan yang dilakukan untuk tujuan agama di negara berkenaan yang akan menyekat umat Islam Perancis daripada memperoleh daging halal.

Sehubungan itu, seorang penulis berketurunan Perancis-Mesir, Marwan Muhammad yang kini bekerja sebagai perunding hak-hak asasi manusia untuk organisasi antarabangsa berkata, penduduk Islam di negara tersebut yang telah mengalami gangguan politik selama lima tahun di bawah rejim pentadbiran Macron kini perlu mempunyai pilihan siapa yang akan menjadi Presiden Perancis.

Klik di sini untuk terus membaca