MALAYSIA tidak pernah sunyi daripada berbicara mengenai politik dan pilihan raya. Sejak merdeka, 14 kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018 selepas Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018. Tempoh matang untuk mengadakan PRU15 ialah 16 Julai 2023 iaitu tarikh sidang Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.
Adakah PRU15 semakin hampir dan tidak akan diadakan sehingga tamat tempohnya? Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan parti pembangkang bersetuju PRU tidak diadakan sebelum Julai 2022.
Bersediakah ‘rakyat’ untuk PRU setahun lebih awal kerana jangkaan yang menjadi sebutan ramai adalah selepas Hari Raya Aidilfitri sehinggalah penghujung tahun ini. Mandat yang diberikan pada tahun 2018 sudah berubah pada Mac 2020 sehingga ia dinamakan sebagai mandat ‘wakil rakyat’.
Sekiranya mahu ia dikembalikan kepada rakyat, ‘masa' tidak akan menjadi isu. Walaupun begitu, dengan pergelutan kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan membina semula kehidupan, ‘rakyat sujud ke bumi’ untuk bersifat realistik. ‘Masa’ penting dalam penentuan tarikh PRU dan kelebihan kepada kerajaan pemerintah untuk menentukannya memberi satu kelebihan.
PRU15 dikatakan semakin hampir selepas Perdana Menteri di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menyatakan akan berbincang dengan pemimpin lima jawatan tertinggi parti sebelum membuat keputusan pembubaran. Ini berikutan desakan daripada kepimpinan parti dan resolusi delegasi pada PAU tersebut.
Ia timbul semula selepas pemimpin parti pembangkang menolak Sosma 2012 ketika sidang Parlimen baru-baru ini. Undian berbelah bahagi tidak menyebelahi kerajaan dan sebahagian kepimpinan parti menyuarakan rasa tidak puas hati apabila persetujuan dalam MoU tidak dihormati pembangkang.
KELESUAN POLITIK
Begitu juga dengan usaha mewartakan Akta Lompat Parti yang masih belum ada kata putus walaupun ahli Dewan Rakyat sebulat suara bersetuju penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menghalusi definisi larangan ahli lompat parti, memansuh Perkara 48 (6) iaitu wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun, dan undang-undang khas larangan ahli Parlimen tukar parti.
Barisan Nasional (BN) mahu PRU disegerakan kerana beranggapan masanya sesuai dengan peratusan keluar mengundi merosot bilamana berlaku kelesuan politik dan kelemahan lawan politik mereka yang masih mencari ruang membentuk semula kerjasama dalam gabungan pembangkang. BN tidak mahu mengulangi kekecewaan 2018 dan mencari ruang memperbaiki serta melakukan perubahan bersesuaian dengan ekopolitik semasa.
Ada yang beranggapan jika masa diberikan untuk barisan parti pembangkang membina semula kolaboratif mereka, ia akan merugikan BN. Barisan parti pembangkang sudah mula mengadakan rundingan bagaimana untuk mengenepikan perbezaan mereka dan bersatu menentang pesaing politik, BN. Apa yang berlaku pada tahun 2018 tidak akan berulang apatah lagi jika masing-masing masih bertelagah dengan ideologi dan menzahirkan kekeliruan ke atas penyokong yang selama ini bersama atas prinsip perjuangan dan bukan kepentingan individu.
Tarikh PRU juga bergantung kepada sejauh manakah Perdana Menteri boleh meyakinkan barisan kepimpinan parti bahawa kekuatan sendiri perlu dibina dari sekadar bergantung kepada ketidakupayaan lawan (jika benar). Ini juga menguji kesejahteraan dan usaha merancakkan ekonomi negara semula. Jika kestabilan dapat dipulihkan dan keadaan yang lebih menentu wujud, nescaya PRU akan diadakan. Penurunan kes Covid-19 dalam fasa peralihan endemik penting untuk mengelak bilangan jangkitan meningkat mendadak.
Undi18 tidak boleh ditolak nilai signifikannya. Barangkali literasi politik dalam kalangan kelompok ini perlu dipertingkatkan dan celik mengenai pendaftaran automatik agar tidak wujud ketidakinginan untuk keluar mengundi. Masihkah ada masa?
PRU15 penting untuk BN dan PH. Nilai ‘merakyatkan kepimpinan' perlu diberikan keyakinan untuk mencari mandat rakyat. PRU barangkali semakin hampir tetapi bersediakah kesemua parti politik dan pemimpinnya?
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca