SHAH ALAM - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api. Naib... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, aspek penguatkuasaan yang tidak menyeluruh menyebabkan ramai orang menganggap penjualan mercun dan bunga api adalah tidak salah dari segi undang-undang.

"Tidak banyak mercun dan bunga api yang dibuat dalam negara, maknanya semuanya datang dari luar negara. Macam mana boleh sampai ke negara ini dengan begitu banyak?

"Maknanya ada kelemahan dari aspek penguatkuasaan di pintu masuk negara, kemungkinan juga ia diseludup melalui lorong atau laluan haram sebab jika nak import mesti ada permit dan cukai,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, aktiviti penjualan mercun dan bunga api secara terbuka seperti pasar malam juga perlu dipantau secara kerap oleh pihak berkuasa tempatan.

Tegasnya, peniaga kecil dan pembekal yang menjual bunga api dan mercun berbahaya tanpa permit perlu ditangkap dan dikenakan tindakan.

Pada Sabtu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusifnya melaporkan sindiket penyeludupan mercun dikesan cuba mengambil kesempatan membawa masuk barangan itu ketika pihak berkuasa sedang menunaikan solat dan berbuka puasa.

Pada masa sama, semakin ramai individu yang berani menjual mercun dan bunga api di laman sosial pada harga serendah RM4 hingga RM800 menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, penjualan mercun secara dalam talian tidak boleh disekat selagi kerajaan tidak mewujudkan undang-undang khusus yang melarang aktiviti membeli dan menjual barang terlarang itu di semua platform media sosial.

"Undang-undang ini sangat penting supaya pihak berkuasa boleh menyekat atau menghentikan sebarang pembelian atau penjualan barang haram secara dalam talian ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menjelaskan lebih lanjut, Choong Fook berkata, aktiviti pembelian dan penjualan barang terlarang termasuk mercun kini bebas dilakukan kerana pembeli berurusan dengan penjual secara langsung.

"Susah sebenarnya untuk kita bendung penjualan ini kerana urusan dilakukan antara pembeli dan penjual. Jadi, apabila adanya polisi atau undang-undang khusus ini ia dapat dikawal,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca