SHAH ALAM - Pembekal mercun dan bunga api mendakwa mereka memiliki permit bagi menjual barangan itu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Seorang pembekal mercun di aplikasi TikTok turut memuat naik surat kebenaran dan permit menjual 45... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembekal mercun dan bunga api mendakwa mereka memiliki permit bagi menjual barangan itu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Seorang pembekal mercun di aplikasi TikTok turut memuat naik surat kebenaran dan permit menjual 45 bunga api jenis happy boom dan pop-pop yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ini yang terbaru, surat bertarikh 18 November 2021. Kali ini tahun 2022, 45 jenis produk mercun diluluskan. Lagi banyak (berbanding tahun lalu). Jadi gunakan yang halal tanpa ragu-ragu,” katanya menerusi video TikTok itu.

Pembekal tersebut ketika dihubungi Sinar Ahad berkata, sebelum membekalkan mercun yang diluluskan kerajaan kepada peniaga, peniaga perlu mendaftar dan membayar cukai yang ditetapkan KDN sebelum surat pengesahan dikeluarkan pihak pembekal.

"Surat ini kita akan keluarkan kepada peniaga yang membuat tempahan mercun untuk dijual sepanjang bulan Ramadan. Kita juga akan lampirkan nama peniaga dan surat kebenaran KDN berhubung 45 jenis mercun yang diluluskan di pasaran.

"Kemudian, mereka akan bawa surat tersebut ke balai polis berdekatan untuk mendapat kelulusan berniaga sama ada di pasar malam atau di kaki lima,” katanya sambil menambah, peniaga juga perlu mematuhi Akta Bahan Letupan 1957.

Bagaimanapun ujarnya, segala urus niaga secara dalam talian atau menerusi sebarang aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan.

"Hanya perlu menjual secara fizikal. Selain itu, musim perayaan tertentu sahaja boleh menjual mercun,” jelasnya.

SHOPEE BUANG MERCUN DARI SENARAI

Dalam pada itu, platform e-dagang terkemuka, Shopee tidak akan bertoleransi terhadap sebarang penjualan barangan terlarang atau berbahaya di platformnya.

Jurucakap Shopee menjelaskan, sebagai mematuhi peraturan tempatan dan dasarnya yang ketat, pihaknya telah mengambil langkah serta-merta untuk membuang penyenaraian yang berkaitan dengan mercun di platform itu.

"Shopee tidak membenarkan sebarang penjualan produk berbahaya kepada kesihatan dan keselamatan pengguna.

"Pihak Shopee ingin menekankan bahawa mana-mana produk yang didapati menyalahi undang-undang atau tidak memenuhi piawaian kami, akan dibuang daripada platform Shopee. Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap penjual tersebut.

"Kami komited dalam memberi pengalaman membeli-belah yang selamat dan dipercayai,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca