SHAH ALAM - Petisyen dalam talian yang dibuat orang awam berhubung kes langgar mati lapan kanak-kanak basikal lajak di Johor Bahru tidak memberi apa-apa kesan terhadap penghakiman kes rayuan itu. Peguam, Datuk Hishamuddin Hashim berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Petisyen dalam talian yang dibuat orang awam berhubung kes langgar mati lapan kanak-kanak basikal lajak di Johor Bahru tidak memberi apa-apa kesan terhadap penghakiman kes rayuan itu.

Peguam, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pandangan awam tidak mempengaruhi penghakiman yang akan dibuat hakim.

"Mahkamah bukan merujuk kepada petisyen itu dalam membuat keputusan sebaliknya merujuk kepada sumber undang-undang iaitu akta, statut (undang-undang yang diputuskan Parlimen) dan duluan kes.

"Nasihat saya, kita serahkan kepada mahkamah yang adil dan tidak perlu bertindak melampaui sistem kehakiman,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai petisyen mendesak pembebasan pemandu wanita, Sam Ke Ting, 27, yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu lalu di laman Change.org.

Petisyen berkenaan sehingga petang Sabtu berjaya mendapat lebih 841,291 sokongan.

Ia diwujudkan setelah wanita itu dijatuhkan hukuman berkenaan ekoran nahas basikal lajak yang mengakibatkan lapan penunggang basikal maut di Johor Bahru pada 18 Februari 2017.

Antara komen yang ditinggalkan menyatakan sokongan kepada wanita berkenaan dan mengatakan hukuman yang dikenakan terlampau berat sedangkan wanita terbabit hanyalah mangsa keadaan.

Media turut melaporkan pemandu wanita terbabit telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Khamis dan kes itu ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi Isnin ini.

Justeru itu, Hishamuddin meminta orang ramai menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada individu itu bersalah atau tidak bersalah.

Klik di sini untuk terus membaca