SETELAH diramalkan selama beberapa tahun mengenai hutang Sri Lanka yang bertimbun, khususnya kepada China, apa yang dibimbangkan akhirnya berlaku. Itu jugalah kebimbangan dan amaran yang kita suarakan apabila kerajaan Barisan Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH diramalkan selama beberapa tahun mengenai hutang Sri Lanka yang bertimbun, khususnya kepada China, apa yang dibimbangkan akhirnya berlaku.

Itu jugalah kebimbangan dan amaran yang kita suarakan apabila kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berhutang secara besar-besaran sebelum kalah dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Pada 12 April lalu, kerajaan Sri Lanka mengumumkan yang ia tidak mampu lagi membayar balik semua hutang luar berjumlah AS$51 bilion (kira-kira RM214.2 bilion).

Langkah itu adalah tindakan terakhir dalam percubaan kerajaan menyekat kedudukan kewangan negara daripada menjadi lebih tenat. Dalam bahasa yang mudah, kerajaan Sri Lanka sudah muflis.

Dan seperti semua negara di dunia yang kehabisan wang untuk membayar balik hutang antarabangsa, Sri Lanka kini bergantung kepada ihsan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Ekonomi semua negara di dunia terjejas teruk akibat gabungan kemerosotan ekonomi global dan pandemik Covid-19 sejak akhir 2019. Tetapi dalam hal Sri Lanka, pentadbirannya turut menyumbang kepada krisis sekarang.

Di bawah pemerintahan adik-beradik Rajapaksa iaitu Gotabaya Rajapaksa sebagai Presiden dan abangnya, Mahinda Rajapaksa sebagai Perdana Menteri, ekonomi Sri Lanka jatuh merudum.

Mahinda jadi Perdana Menteri sejak 2019 dan sebelum itu dari 2004 hingga 2005. Kemudian jadi Presiden dari 2005 hingga 2015, Ketua Pembangkang dari 2002 hingga 2004 dan juga dari 2018 hingga 2019, Menteri Kewangan dari 2005 hingga 2015 dan dari 2019 hingga 2021.

Gotabaya Rajapaksa menjadi Presiden ke-8 sejak 2019. Sebelum itu, dari 2005 hingga 2015 beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dan Pembangunan Bandar, di bawah pentadbiran abangnya, bekas Presiden Mahinda Rajapaksa.

Sri Lanka juga mengalami ketegangan agama dan kaum yang melibatkan penduduk majoriti beragama Buddha. Mereka inilah yang menguasai politik dan institusi penting negara. Pergaduhan kerap berlaku dengan penganut Hindu yang berupa 13.7 peratus daripada 22.8 juta penduduk dan Islam 9.7 peratus.

Selama 26 tahun sehingga 2009 ia berperang dengan pemisah Tamil yang mengorbankan 100,000 orang dan menyebabkan 800,000 menjadi pelarian.

Hutang negara menggunung, bekalan makanan dan bahan bakar tidak mencukupi, elektrik terputus setiap hari dan inflasi mencecah 20 peratus.

PEMBOLOTAN JAWATAN

Sudah berminggu-minggu penunjuk perasaan turun ke jalan raya menuntut mereka meletak jawatan. Jelas pembolotan jawatan oleh adik-beradik Rajapaksa ini merosakkan Sri Lanka.

Petanda awal kepada krisis ekonomi ini adalah pemajakan Pelabuhan Hambantota selama 99 tahun dengan harga AS$1.1 bilion (RM4.62 bilion) kepada China pada 2018.

Penggadaian pelabuhan raksasa tersebut terpaksa dibuat setelah Sri Lanka gagal membayar balik hutang kepada syarikat-syarikat China yang membiayai dan membinanya dengan belanja AS$1.3 bilion (RM5.46 bilion) 10 tahun lalu.

Simpanan luar hanya tinggal AS$1.9 bilion (RM7.98 bilion) pada akhir Mac iaitu cukup untuk sebulan import tetapi jauh berkurangan daripada AS$4 bilion (RM16.8 bilion) yang diperlukan untuk membayar balik hutang tahun ini.

Bagi orang yang berusia atau yang membaca sejarah, Sri Lanka ini adalah antara tanah jajahan British yang maju, terkenal dengan eksport teh, getah dan batu permata.

Tetapi selepas merdeka tidak banyak pembangunan berlaku. Ekonominya terus bergantung kepada pertanian yang menyumbang 84 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala banyak wang dibelanjakan ke atas pembangunan yang tidak mempunyai nilai dagangan yang tinggi.

Ekonominya dianggarkan bernilai AS$84 bilion (RM352.8 bilion) pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda. Pada 2020 ekonominya menguncup 3.6 peratus.

Bank Dunia telah pun memberi amaran sebelum krisis ini terjadi bahawa pembangunan yang tidak mempunyai nilai dagangan yang tinggi seperti infrastruktur awam, termasuk pelabuhan raksasa, adalah tidak lestari dan tidak membantu pengagihan kekayaan.

Kesimpulannya, tanpa pentadbiran yang cekap dan berintegriti serta perancangan ekonomi yang mantap, perbelanjaan yang banyak daripada sumber dalam dan luar negara tidak menjamim pertumbuhan yang tinggi dan berterusan. Sebaliknya negara boleh muflis dan tergadai kepada kuasa-kuasa luar.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca