USAHA memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya sebahagian bidang keutamaan dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada 7 Disember 2021 iaitu Diplomasi Kebudayaan, turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

USAHA memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya sebahagian bidang keutamaan dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada 7 Disember 2021 iaitu Diplomasi Kebudayaan, turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di dalam hubungan antarabangsa.

Penggunaan bahasa Melayu dalam perhubungan antarabangsa bukan sesuatu yang baharu. Dari segi sejarah, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau Asia Tenggara. Ia telah menjadi lingua franca ketika Empayar Srivijaya (650-1275), kemudian semasa Empayar Kesultanan Melaka (1400-1511), malah menjadi bahasa pengantara dalam urusan pentadbiran, perniagaan, perundangan dan perhubungan antarabangsa.

Ini terbukti dengan penemuan artifak sejarah, misalnya manuskrip lama yang menggunakan tulisan Melayu-jawi dan Batu Bersurat Terengganu. Selain itu, bahasa Melayu digunakan dalam bidang perundangan dengan adanya Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka bagi wilayah-wilayah di bawah Empayar Melaka. Ini bererti para pedagang dari luar rantau Asia Tenggara seperti Arab, China dan India perlu memahami serba sedikit bahasa Melayu untuk berurusan dengan Empayar Melaka.

Semasa era penjajahan Barat pegawai-pegawai kolonial Portugis, Belanda dan British perlu mempelajari dan fasih berbahasa Melayu untuk berurusan dengan pemerintah tempatan. Perhubungan rasmi antara pihak penjajah dengan pemerintah tempatan seperti perjanjian dan surat-menyurat menggunakan bahasa Melayu. Misalnya surat dikirim Sultan Ternate, Sultan Sultan Abu Hayat kepada Raja Portugal, Raja John III bertarikh 1521 dan 1522, serta syarat-syarat Perjanjian Pangkor 1874 ditulis dengan bahasa Melayu klasik-jawi.

Begitu juga perutusan yang dihantar raja-raja Melayu kepada pegawai-pegawai kanan British seperti Sir Thomas Stamford Raffles dan Major-General William John Butterworth Gabenor Negeri-negeri Selat menggunakan bahasa Melayu klasik. Karya-karya agung dalam bahasa Melayu hasil tulisan cendekiawan tempatan seperti Tun Seri Lanang, Munshi Abdullah dan Hamzah Fansuri masih dikaji oleh sarjana daripada Barat sehingga hari ini.

BAHASA KEDUA

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat lawatan rasmi ke Indonesia, antara perkara diumumkan adalah cadangan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN. Perkara ini bukanlah baharu kerana sebelum ini sudah ada cadangan daripada Tan Sri Rais Yatim dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara ASEAN. Bezanya, cadangan kini adalah untuk menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Bahasa Inggeris kekal menjadi bahasa utama dan pengantara ASEAN semenjak penubuhannya pada tahun 1967.

Cadangan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara kedua ASEAN harus dipertimbangkan dengan serius kerana organisasi antarabangsa lain mempunyai lebih daripada satu bahasa pengantara. Misalnya, Kesatuan Eropah (EU) mempunyai 24 bahasa rasmi iaitu Bulgaria, Croatia, Czech, Denmark, Belanda, Inggeris, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Yunani, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Malta, Poland, Portugis, Romania, Slovak, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.

Semua dokumen rasmi EU diterjemah ke dalam kesemua bahasa-bahasa ini dan para pemimpin EU menggunakan bahasa kebangsaan mereka ketika persidangan EU di Brussels, Belgium. Begitu juga organisasi antarabangsa lain seperti Kumpulan 7 (G7) menggunakan bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun dan Shanghai Cooperation Organisation (SCO) menggunakan Mandarin dan Rusia.

Isu sama ada penggunaan bahasa Indonesia atau Melayu sebagai bahasa pengantara kedua ASEAN tidak harus timbul kerana cadangan Ismail Sabri bersifat generic iaitu bahasa Melayu yang dituturkan lebih kurang 45.8 peratus penduduk ASEAN. Selain itu bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di empat negeri Asean (Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura) dan dituturkan di lapan negara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Myanmar dan Kemboja).

Perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam hubungan antarabangsa tidak harus berhenti di peringkat ASEAN sahaja sebaliknya pemimpin dan para diplomat harus berasa bangga menggunakannya bagi upacara antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepertimana pemimpin negara-negara lain menggunakan bahasa kebangsaan mereka.

Isu kos penterjemahan juga tidak harus menjadi penghalang kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca