PERSOALAN sering ditimbulkan, apa akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam? Ini disebabkan ada mendakwa negara kita dilahirkan dengan mempertahankan ciri sekular. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah... Klik di sini untuk terus membaca

PERSOALAN sering ditimbulkan, apa akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam? Ini disebabkan ada mendakwa negara kita dilahirkan dengan mempertahankan ciri sekular.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak. Islam tidak sekadar disebut sebagai agama ‘rasmi tetapi ‘agama bagi Persekutuan’. Tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah perkataan ‘sekular’ juga tidak ditemui di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi, jika kita amati Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ada susunan kata nyata yang menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan ‘tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular. Perkara 3(1) berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ia hanya berhenti di situ.

Oleh demikian, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa-kuasa jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri. Malaysia tidak pernah memisahkan negeri dan agama. Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular dalam erti kata sebenar.

QISAS DAN TAAZIR

Sudah sampai masanya kita berhenti menakutkan dan melakukan kepungan minda dengan menyalaharah diri menyatakan Malaysia akan berubah daripada negara sekular kepada negara Islam kerana Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular.

Walaupun sejak kebelakangan ini penghakiman mahkamah tidak dilihat membawa prinsip ini, kebanyakan undang-undang kita sudah Islam tanpa ia dinamakan Islam kerana prinsip tidak bertentangan dengan Islam itu.

Ramai tidak faham apa yang dimaksudkan undang-undang jenayah Islam. Terdapat salah faham bahawa undang-undang jenayah Islam adalah hudud sahaja. Undang-undang jenayah Islam sebenarnya merangkumi qisas dan taazir juga. Qisas merupakan suatu kesalahan yang hukumannya berdasarkan timbal balik. Taazir pula merupakan kesalahan kerajaan membuat mereka sebagai kesalahan yang termasuk kesalahan trafik, kesalahan-kesalahan terhadap tidak bermoral dan kesalahan lain yang tidak termasuk di bawah hudud atau qisas. Kebanyakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang jenayah yang lain merupakan kesalahan taazir.

Di samping itu, undang-undang syariah tidak hanya melalui undang-undang jenayah sahaja. Terdapat bidang lain seperti perbankan dan kewangan, undang-undang keterangan, hisbah, pentadbiran keadilan, kepimpinan, hubungan antara manusia dan makhluk lain dan hubungan antara manusia dan ALLAH. Ini juga termasuk dalam bidang syariah.

Apa yang wujud hanyalah prejudis dan salah faham terhadap sebuah negara Islam. Persoalan ini timbul biasanya kerana salah tanggapan bahawa kita adalah sebuah negara sekular sebenar. Oleh itu kita tidak boleh menjadi negara Islam kecuali kita mempunyai sejumlah perubahan perlembagaan kita.

Apa yang diperjuang umat Islam sekarang ialah mengekalkan perlembagaan dan menyulamkan pelaksanaan hukum hudud mengikut peruntukan perlembagaan kita. Masyarakat antarabangsa tidak pernah menganggap Malaysia sebagai negara sekular. Kita mempunyai peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengiktiraf pihak berkuasa Islam, mahkamah dan institusi Islam dengan kuasa untuk mengawal selia penjalanan majoriti rakyat Malaysia.

Malaysia sudah pun negara Islam, bukan mahu bertukar menjadi negara Islam. Tiada apa yang perlu ditakutkan walaupun ada golongan yang tegar mahu institusi Islam dihapuskan atas alasan tiada berperlembagaan.

Pandangan ini terhasil akibat kekeliruan di dalam memahami teks Perlembagaan Persekutuan dan fungsi sesuatu agensi agama.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca