KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyekat aktiviti sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan laluan laut dengan tertangkapnya 6,054 migran dan tekong menerusi pelbagai siri serbuan sejak tahun 2020.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, berdasarkan pecahan tangkapan sepanjang tempoh itu sehingga Mac lalu, tangkapan migran asing terdiri daripada 4,733 orang, manakala tekong seramai 1,321 orang.
"Pada tahun 2020, seramai 827 tekong dan 1,912 migran ditahan manakala tahun berikutnya melibatkan tangkapan 363 tekong serta 1,907 migran.
"Bagi tahun ini setakat Mac, PDRM berjaya menggagalkan cubaan sindiket dengan penahanan 131 tekong dan 914 migran,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Razarudin berkata, tindakan tegas telah diambil di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 130V Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
Jelas beliau, berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya percaya sindiket ini mempunyai jaringan luar dan dalam negara yang mana ada ejen sindiket berperanan untuk menguruskan urusan keluar masuk PATI.
Katanya, PDRM juga mengenal pasti beberapa modus operandi sindiket PATI yang menggunakan bot nelayan.
"PATI yang cuba menyeludup masuk ini akan dibawa oleh tekong dan akan berada di perairan sempadan negara selama beberapa hari bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.
"Kemudian, akan datang bot nelayan dan PATI ini akan dibahagikan dalam jumlah yang kecil dan akan bekerja sebagai nelayan terlebih dahulu sebelum mendarat di dalam negara.
"Itu antara taktik sindiket yang dikenal pasti dan polis akan sentiasa mempertingkatkan risikan dan rondaan untuk membanteras kegiatan jenayah ini,” katanya.
Tegas Razarudin, PDRM mengingatkan kepada semua pemilik bot atau mana-mana individu yang bersekongkol dengan sindiket agar tidak terlibat dengan jenayah tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca