SUSULAN fasa peralihan endemik dan pembukaan sempadan negara, kebanyakan sektor ekonomi dijangkakan berkembang positif untuk pulih terutamanya bagi sektor pelancongan yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik dan mencatatkan kerugian... Klik di sini untuk terus membaca

SUSULAN fasa peralihan endemik dan pembukaan sempadan negara, kebanyakan sektor ekonomi dijangkakan berkembang positif untuk pulih terutamanya bagi sektor pelancongan yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik dan mencatatkan kerugian kira-kira RM45 bilion.

Impak pandemik Covid-19 menyebabkan banyak penggiat industri pelancongan domestik terutama bagi mereka yang beroperasi pada skala besar mahupun sederhana menutup perniagaan mahupun menukar operasi kepada skala kecil.

Akibatnya, banyak fasiliti dan infrastruktur pelancongan tidak diselenggara sebaiknya.

Lebih menyedihkan, terdapat juga penggiat industri yang terpaksa menutup pusat pelancongan, menyebabkan bangunan serta fasiliti pelancongan ditinggalkan terbiar dan tidak terurus seperti penutupan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Perak.

Keadaan bangunan, infrastruktur mahupun fasiliti terbiar dan tidak diselenggara ini menjejaskan pandangan serta boleh mencalarkan imej negara.

Memandangkan sektor pelancongan baru memasuki fasa pemulihan dan pelancong dari luar negara mula mencari tempat menarik untuk dilawati, penyelenggaraan bangunan, fasiliti dan infrastruktur pelancongan yang terkesan perlu ditekankan.

Pelaksanaan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026, Tourism Malaysia yang mempunyai enam tonggak adalah tepat berikutan ia menumpukan aspek infrastruktur yang berperanan penting dalam menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.

Malah, menerusi pembentangan Bajet 2022, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta menerusi geran padanan kepada pengusaha inap desa dan hotel bajet bagi membaik pulih premis mereka.

Selain pengusaha inap desa mahupun hotel, pengusaha pusat pelancongan persendirian seperti taman tema dan taman rekreasi, juga perlu mengambil kira aspek penyelenggaraan dalam strategi pemulihan dan pembangunan sektor mereka.

Tidak dinafikan, pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan telah menjadi cabaran sejak beberapa dekad yang lalu. Kekurangan sistem pengurusan penyelenggaraan yang berkesan juga merupakan salah satu isu utama dalam mengekalkan infrastruktur pelancongan awam.

Kemerosotan atau kerosakan terhadap fungsi atau prestasi infrastruktur terjadi disebabkan kurangnya atau ketiadaan aktiviti penyelenggaraan semasa peringkat perancangan pembangunan.

Sepatutnya, pembangunan infrastruktur mesti disertakan dengan aktiviti penyelenggaraan bagi mengelakkan keusangan dan kerosakan.

Pengabaian berterusan terhadap aktiviti penyelenggaraan akan membawa kepada kerosakan teruk pada infrastruktur pelancongan menyebabkan kos baik pulih meningkat malah pendapatan turut terjejas ekoran dari kemerosotan pelancong.

Belum terlewat agar mentaliti penyelenggaraan dipupuk menjadi satu budaya di negara ini bagi mencerminkan akauntabiliti semua pihak terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing khususnya dalam mengekalkan infrastruktur pelancongan.

* Dr Anis Syazwani Sukereman ialah Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca