SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya tidak menamatkan Operasi Benteng (Ops Benteng) pada Jun depan, memandangkan ia memperoleh banyak kejayaan dalam mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kegiatan jenayah rentas sempadan.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, meskipun Ops Benteng ditubuhkan semasa pandemik Covid-19, namun ia perlu diteruskan memandangkan sempadan kini telah dibuka semula.
"Ops Benteng ini sebenarnya diadakan semasa Covid-19 bagi menghalau orang keluar masuk dan kegiatan penyeludupan. Kini, saya rasa memang ada kepentingan untuk diteruskan.
"Ia berfungsi dalam membanteras pencerobohan. Sebab penceroboh bukan berlaku secara bermusim, bukan waktu Covid-19 sahaja. Ia sentiasa ada.
"Dalam masa sama, ia perlu diteruskan sebab kita tidak boleh mengharapkan sesuatu pihak sahaja dalam mengawal isu ini.
"Dalam Ops Benteng, banyak pihak terlibat antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergabung dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian setelah melihat pasukan PDRM berjaya menyekat kegiatan sindiket penyeludupan PATI yang menggunakan laluan laut dengan menangkap 6,054 migran serta tekong menerusi pelbagai siri serbuan sejak tahun 2020.
Pada 12 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ops Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun nanti.
Menurut Hamzah, segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya.
Shahul Hamid berkata, Ops Benteng yang disaran untuk diteruskan itu perlu dikaji semula pelaksanaannya dengan memperbanyakkan kawasan pemantauan.
"Mungkin perlu diperluaskan tempat atau sasaran. Penyeludup lebih cekap. Mereka akan beralih ke tempat lain bila ada pengawasan di sesuatu tempat.
"Jadi, perluaskan tempat operasi tersebut supaya dapat membanteras penyeludup ini agar lebih ramai yang akan tertangkap,” jelasnya.
Sementara itu, pakar kriminologi dari Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, kerajaan juga perlu mengekalkan Ops Benteng bagi memerangi kegiatan jenayah lain seperti pengedaran dadah, pemerdagangan orang dan penjualan senjata api.
Jelasnya, antara sebab Ops Benteng perlu diteruskan kerana ia menjadi tanda aras kepada penyatuan kolaborasi interagensi yang terlibat secara langsung.
"Ia seperti Markas ATM, Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, Jabatan Kastam dan Agensi Antidadah Kebangsaan,” katanya.
Katanya, Ops Benteng juga merupakan kawalan sempadan yang berkesan mengekang jenayah rentas sempadan melalui penguatkuasaan undang-undang kawalan di pintu masuk.
"Ops Benteng menggunakan sistem biometrik selain menggunakan teknologi dalam kaedah penguatkuasaan bagi mengesan dan meningkatkan kemahiran semasa penguatkuasaan,” ujarnya.
Beliau berkata, ia juga perlu dikekalkan kerana dapat membuka peluang kepada kerjasama antarabangsa seperti menandatangani perjanjian ekstradisi dengan negara jiran dan memorandum persefahaman dengan negara kuasa besar.
Tambah Zalmizy, Ops Benteng perlu diselaraskan di bawah bidang kuasa KDN agar perancangan dan pelaksanaan operasi berjalan dengan lebih sistematik, efektif serta pengarahan operasi bersepadu bersama agensi terlibat dapat dilakukan dengan jayanya.
Klik di sini untuk terus membaca