KEPUTUSAN UMNO untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) seandainya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti adalah satu keputusan yang baik.
Ini kerana ia memudahkan pengundi membuat pilihan.
Setidak-tidaknya, dalam kes BN, rakyat dah boleh buat keputusan - jika pilih BN dapat Ismail Sabri.
Kini, kita semua mengharapkan agar Pakatan Harapan (PH) turut melakukan pendekatan yang serupa.
Atau pun keputusan BN ini akan sekurang-kurangnya mendesak atau mendorong PH untuk turut menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM mereka.
Jika jelas dan nyata BN dan PH dah menentukan siapakah calon PM mereka, mereka telah membantu para pengundi untuk membuat keputusan.
Sama ada keputusan itu tepat atau tidak, itu lain cerita. Yang penting ialah bagaimana proses memilih ini dipermudahkan. Itulah yang pengundi mahu.
Kita juga sedia maklum yang di pihak sebelah lagi, belum ada konsensus bagaimana mereka akan berhadapan dengan BN.
Apa yang terjadi dalam episod Langkah Sheraton telah menjejaskan kepercayaan dan nilai persahabatan sesetengah pihak.
Masalah paling besar yang sedang berada di hadapan mereka ialah, jika kesemuanya masuk gelanggang secara berasingan untuk berdepan dengan BN, jawapannya ialah mereka akan kalah.
Itu adalah pasti kerana undi BN walaupun tak bertambah tapi tak berpecah sedangkan undi yang menolak BN walaupun jauh lebih besar, berpecah banyak cabang.
Ini samalah seperti memberi kemenangan percuma kepada BN atau kemenangan teknikal. Keputusan Pilihan Raya Negeri telah membuktikannya.
Penulis sama sekali tidak mencadangkan agar tolak BN. Yang penulis ingin tekankan ialah, jika nak bersaing maka berilah persaingan yang benar-benar jitu.
Jika sekadar hendak meraikan demokrasi, lebih baik buat pertandingan 10 penjuru.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca